
Syafiq Farhain Bengang Dengan Penyebaran Berita Palsu Kematian Bapanya
Penyanyi Syafiq Farhain mengakui berasa kesal dan terkilan di atas penyebaran berita palsu yang mengatakan bapanya, vokalis kumpulan Iklim, Saleem sudah meninggal dunia.
Menurut Syafiq, 24, dia tidak tahu apa tujuan sebenar pihak yang tidak bertanggungjawab membuat kenyataan palsu seperti itu.
“Memang saya bengang dengan berita palsu pasal kematian ayah saya.
“Apa yang mereka nak dengan buat berita palsu macam itu.
“Adakah mereka nak kejar ‘likes’ dan populariti di atas kesempitan orang lain?
“Ada juga yang ‘tag’ saya di Instagram Story mereka yang memberi ucapan Al-Fatihah seolah ayah saya sudah meninggal dunia.
“Saya pun apa lagi terus balaslah, mereka ini tak buat kaji selidik dulu ke sebelum nak tag saya dengan benda-benda macam ini,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Syafiq ditemui pada majlis sidang media selepas selesai konsert final Big Stage di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam.
Syafiq turut menyatakan bapanya kini berada dalam keadaan stabil biarpun masih lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras.
“Sejak ayah dimasukkan ke hospital Khamis lalu, saya baharu dua kali berkesempatan melawatnya.
“Hari pertama ayah ditidurkan dengan bantuan ubat, keadaannya kritikal tapi stabil dengan bantuan mesin.
“Bila kita tanya, dia beri respons dengan mengangguk atau mengeleng. Kiranya dia ada tindak balas untuk menjawab bila kita tanya,” jelasnya lagi.
Saleem, 57, terlibat kemalangan jalan raya selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar kereta dari arah belakang, Khamis lalu.
Susulan insiden itu, 11 tulang rusuk penyanyi lagu Suci Dalam Debu itu patah dengan satu daripadanya mencederakan paru-parunya.
Saleem terlebih dahulu menerima rawatan di Hospital Kajang sebelum dipindahkan ke PPUKM. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Bigstage_Official