
Sofazr Menyesal Lupa Diri Sampai Pernah Terfikir Bubarkan Band
Setelah sekian lama menghilang daripada persada seni muzik, kumpulan Sofazr kini kembali dengan single terbaharu mereka, Takkan Mungkin.
Zimi selaku jurucakap Sofarz mewakili rakan-rakannya menjelaskan kehilangan Sofazr dalam satu tempoh yang lama adalah satu perkara yang sangat dikesali kumpulan itu sejak memulakan kerjaya pada tahun 2003.
“Sikap lupa diri merupakan antara kesilapan yang membelenggu setiap ahli kumpulan sebaik sahaja Sofazr meraih populariti sehingga membuatkan kami ‘hanyut’ seketika. Kami ralat dengan tindakan yang dibuat beberapa tahun sebelum ini sehingga menjejaskan perjalanan seni Sofazr.
“Terus-terang kami lupa diri ketika saat dipuja peminat di Indonesia. Kami jadi begitu sebab daripada budak flat, tiba-tiba nyanyian kami diterima ramai dan boleh dikatakan kami seperti terkena kejutan budaya.
“Sejak itu kami semua mula buat perangai tidak mahu masuk studio dan datang latihan sehingga membuatkan kumpulan ini dilihat tidak lagi aktif dalam industri seni. Malah, kami pernah terfikir untuk bubarkan Sofazr, tetapi apabila mengenangkan kembali susah payah bertapak dalam industri, kami bersepakat untuk terus memperjuangkan Sofazr,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Sofazr ditemui pada majlis pelancaran single Takkan Mungkin yang diadakan di Red Box Gardens, Kuala Lumpur yang berlangsung semalam.
Sofazr dianggotai Ameer selaku vokalis, Zimi (gitaris), Syah (gitaris), Fairuz (bassist), One (drummer) serta Rodie (keyboardist) dan sebelum ini cukup terkenal dengan lagu-lagu hits seperti Janjiku, Cintai Aku dan Dan Bila Esok.
Sempena meraikan ulang tahun ke-15 penubuhan Sofazr, kumpulan yang kini bernaung di bawah label Seventeen Eleven ini bakal mengadakan Janjiku 15 Showcase yang akan berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 25 November ini, jam 3 petang. Tiket berharga RM60 boleh didapati di Hard Rock Cafe.
Menerusi showcase itu, peminat akan dihiburkan dengan 15 seleksi lagu daripada Sofazr selain kemunculan dua penyanyi jemputan iaitu Treehill dan Amir Masdi. – KopiPlanet.com



