
Sambutan Hangat, Joe Flizzow Teruskan Konsert Siri Kedua 16 Baris
Selepas mendapat sambutan hangat menerusi konsert pertama 16 baris yang diadakan pada Ogos lalu, penyanyi hip hop, Joe Flizzow selaku peneraju 16 Baris berkata pihaknya akan meneruskan legasi konsert tersebut selewat-lewatnya pada bulan Jun tahun hadapan.
Joe menerusi syarikat rakamannya, Kartel Records Sdn Bhd dengan kerjasama Rocketfuel Entertainment menyediakan platform kepada penyanyi rap baru bagi mengetengahkan bakat mereka dalam industri muzik tempatan.
Menurut Joe, melihat pada kedudukannya sekarang, dia boleh sahaja untuk menutup mata dengan tidak mencari pelapis-pelapis baharu namun itu bukan merupakan agendanya selama bertapak dalam kerjaya seni.
“Saya sudah lama dalam industri muzik. Saya boleh buat tak tahu dan bergerak buat benda lain tetapi rasa ada tanggungjawab yang perlu dijalankan untuk membantu penyanyi rap terutama yang masih baharu yang masih mencari-cari ruang untuk bertapak dalam industri muzik.
“Disebabkan itu, saya melakukan projek 16 Baris kerana saya percaya ada bakat-bakat muda ini yang mampu menyinar. Seperti musim pertama 16 Baris saya dapat jumpa penyanyi-penyanyi rap seperti Lil J dan Young Raja yang kini nama mereka semakin dikenali peminat-peminat hip hop tanah air,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Joe ditemui pada majlis pelancaran dokumentari Finesse: The 16 Baris Story (Finesse) yang berlangsung di TGV One Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.
Finesse merupakan dokumentari yang memaparkan 45 penyanyi rap yang bertarung antara satu sama lain dalam seni hip hop paling tradisional iaitu perlawanan kata-kata secara spontan atau ‘freestyle’.
Joe atau sebenarnya Johan Ishak, 39, berkata dia enggan menjual siri itu kepada mana-mana penyiar lain kerana ingin memudahkan peminat untuk mengakses kepada dokumentari tersebut.
“Saya boleh jadi tamak dan jual program in ke mana-mana stesen televisyen tetapi ia tidak adil buat peminat yang tidak mempunyai medium untuk menonton televisyen atau mana-mana aplikasi berbayar.
“Jadi, bagi saya lebih baik ia ditayangkan di Youtube bagi memudahkan peminat untuk menonton penyanyi kegemaran mereka dan saya harap ia akan terus kekal menerusi laman perkongsian video itu,” katanya lagi.
Musim kedua 16 baris telah mula bersiaran dan pada setiap minggu ia menampilkan tiga penyanyi rap yang akan menunjukkan bakat mereka. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Joe Flizzow



