
Ernie Zakri Terharu Siti Nurhaliza Iktiraf Bakat Nyanyiannya
Penyanyi Ernie Zakri melahirkan keterujaannya apabila penyanyi no.1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memperakui bakat nyanyiannya dalam bidang seni.
Baru-baru ini, Siti menerusi satu kenyataan media berkata, beliau secara peribadi menginginkan Ernie untuk menggantikan dirinya sekiranya lagu Anta Permana berjaya memasuki Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun hadapan.
“Sebelum ini saya ada terbaca kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Datuk Siti dan saya rasa sangat terharu dengan perkara itu.
“Bila diri saya diperkatakan oleh beliau, saya rasa macam dah menang satu anugerah buat diri saya serta satu kejayaan dalam kerjaya,” kata Ernie kepada KopiPlanet.com.
Ernie ditemui pada majlis pelancaran single dan muzik video terbaharunya, Ku Bersuara yang berlangsung di Pintu Old Malaya, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur semalam. Ku Bersuara merupakan lagu ciptaan Syamel manakala lirik oleh Omar K, Blaine Bakri dan John Jeevasingham.
Untuk pengetahuan, Siti sememangnya telah menarik diri daripada menyertai mana-mana pertandingan nyanyian bermula sejak tahun 2010.
Dalam pada itu, Ernie menyatakan sebagai seorang penyanyi dia sentiasa menginginkan untuk menerbitkan sebuah album kerana baginya tidak lengkap seseorang penyanyi itu sekiranya tidak mempunyai album.
“Bagi saya setiap penyanyi perlu ada hala tuju dan harus mempunyai album. Saya kini dalam proses mencari material baharu untuk penerbitan album.
“Bercakap mengenai gandingan duet saya dengan Syamel, setakat ini orang masih lagi sukakan gandingan kami. Kalau orang dah benci nanti, saya akan carilah rakan duet lain,” katanya berseloroh.
Ku Bersuara yang diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd kini sudah boleh didengari melalui penstriman atas talian bermula 7 Disember lalu. – KopiPlanet.com



