
‘Family Man’ Jadi Kriteria Eyra Hazali Pilih Penjaga Gol JDT
Pelakon Eyra Hazali menjelaskan antara kriteria yang menyebabkan dirinya tertarik dengan tunangnya yang merupakan penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Haziq Nadzli adalah kerana dia seorang yang sangat mementingkan keluarga atau ‘family man’.
Menurut aktres genit berusia 19 tahun itu, sikap Haziq yang tidak gemar melepak juga merupakan antara ciri-ciri yang membuatkan dirinya jatuh cinta pada jejaka berusia 20 tahun itu.
“Sebenarnya kami mula berkenalan di laman sosial Instagram sejak setahun lalu, sebelum mengikat tali pertunangan pada 1 Disember lalu.
“Saya tertarik dengan Haziq sebab dia seorang yang tidak suka melepak selain sangat mementingkan keluarga. Lepas balik jalani latihan bola sepak, dia lebih suka tidur daripada melepak di luar,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Eyra ditemui pada majlis doa selamat dan pelancaran filem M4M4 yang diadakan di Hotel Summit City Centre, Kuala Lumpur semalam.
Eyra dan Haziq bertunang di kediaman pelakon wanita itu di Kuala Lumpur dan majlis pertunangan mereka diketahui hanya selepas kakak Eyra memuat naik gambar majlis itu di laman Instagram miliknya.
Menurut Eyra, dia bukan sengaja tidak mahu menghebahkan majlis pertunangan itu, sebaliknya menghormati permintaan daripada keluarga kedua-dua belah pihak.
“Saya tidak ada niat mahu merahsiakan berita pertunangan kami. Namun, keputusan ini dibuat semuanya kerana permintaan keluarga kami.
“InsyaAllah… kami tidak akan merahsiakan majlis perkahwinan daripada pihak media bila tiba masanya nanti. Apa yang boleh saya katakan majlis pernikahan bukan berlangsung dalam masa terdekat ini,” jelasnya lagi.
Eyra mula dikenali menerusi watak anak jalanan bernama Amira dalam telefilem Anak-Anak Lorong dan pembabitannya dalam telefilem berkenaan melayakkan dia memenangi Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2010. – KopiPlanet.com



