
Selalu Jamming Bersama Rahsia Ella Dan Suami Kekal Bahagia
Sudah enam tahun melayari bahtera perkahwinan, ratu rock negara, Nor Zila Aminuddin atau Ella bersyukur dikurniakan suami yang turut mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang muzik.
Menurut Ella, 52, dia dan suami, Azhar Ghazali sering kali jamming bersama bagi mengeratkan lagi hubungan di antara mereka.
“Kalau dia tidak sibuk dengan kerjanya sebagai juruterbang, kami memang akan selalu jamming bersama untuk ‘bonding session’. Dia juga sama seperti saya layan semua jenis genre lagu termasuk muzik rock dan juga lagu melayu asli.
“Selain itu, suami juga merupakan tulang belakang yang banyak membantu kerjaya seni saya. Saya memang sangat perlukan pertolongan dia kerana bagi saya selain ahli keluarga yang lain, suami juga merupakan individu yang jujur dan selalu ‘all out’ untuk membantu saya,” katanya kepada KopiPlanet.com.
https://www.instagram.com/p/BqjybiOBWy7/
Ella ditemui pada majlis sidang media konsert Ella Unplugged In KL yang diadakan di Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, semalam.
Ella bakal membuat kelainan dalam konsert tersebut apabila dia akan tampil dengan lima persembahan lagu melayu asli yang diiringi lebih 15 pemuzik tempatan.
Mengakui teruja dengan konsert yang bakal berlangsung pada 29, 30, dan 31 Mac nanti, Ella berkata dia sudah membuat beberapa persiapan terutama sekali daripada segi stamina bagi mengekalkan kecergasannya di atas pentas.
“Mungkin saya akan ada menari sedikit pada malam itu, kita tunggu sahaja. Buat masa ini memang saya lebih fokus kepada stamina dan saya sehabis baik cuba ikut rutin senaman seperti berlari, melakukan senaman kardio dan pergi ke gimnasium.
“Selain itu, saya elakkan ambil minuman bergula agar tekak tidak menjadi kering. Untuk konsert kali ini, saya akan cuba berikan yang terbaik untuk peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” katanya.
Ella Unplugged In KL dianjurkan oleha Projek Ella dan sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada Yayasan Autism Malaysia.
Tiket-tiket early bird berharga RM159, RM169, RM189, RM289, RM389, dan RM489 (meet & greet) akan mula dijual di laman sesawang www.proticket.com.my. – KopiPlanet.com



