• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Abby Nadzri Kini Sedia Kembali Aktif Semula Dalam Dunia Lakonan

Pelakon Abby Nadzri menyatakan dia kini kembali bersedia untuk bergiat aktif dalam bidang lakonan yang sememangnya menjadi minatnya sejak kecil.

Abby berkata, sejak mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya pada tahun 2013, tidak dinafikan tawaran untuk berlakon semakin kurang diterimanya.

“Saya sebenarnya mula menceburi bidang seni dengan bergelar hos program Salam Bollywood pada tahun 2007. Lepas saya berhijab pada 2013, tawaran pula semakin kurang biarpun tidak pernah menyatakan hasrat untuk berhenti.

“Lagipun suami memahami dan tidak pernah menghalang untuk saya terus aktif berlakon kerana dia juga sama-sama orang dalam industri seni,” ujarnya yang berkahwin dengan pengarah muzik, Rio Rasul dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Dia berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada Malam Gala Filem Busut Bonang yang berlangsung di MM2 Cineplexes, E-Curve Damansara, baru-baru ini.

Ujarnya, dia berharap agar kemunculannya dalam filem Busut Bonang akan lebih banyak peluang untuk menerima tawaran lakonan daripada mana-mana pengarah atau penerbit.

Dalam pada itu, mengenai pembabitannya dalam filem tersebut, Abby mengakui agak sukar untuk dirinya menolak tawaran yang telah diterima daripada adiknya, Khalid Nadzri selaku pengarah.

Mengakui dirinya seorang yang penakut, namun hatinya tertarik disebabkan kelainan watak serta kekuatan skrip pada setiap watak dalam filem berkenaan.

“Busut Bonang merupakan filem pertama yang boleh dikatakan saya dapat memegang watak utama. Selalunya sebelum ini saya sering dapat watak sampingan dan cameo sahaja.

“Memang saya seorang yang penakut, tetapi bila Khalid cakap dia nak buat filem komedi seram, saya tengok skrip dan terus rasa tertarik dengan jalan ceritanya. Sebelum ini saya sering buat tak tahu sahaja bila abang saya, Ahmad Idham nak buat filem seram sebab saya memang sangat penakut, ujarnya.

“Kemudian apabila Khalid kata watak saya ini ada plot twist yang tersendiri itu yang buat saya nak cuba. Walaupun ada babak yang saya kena rasuk dan mengilai, alhamdulillah tiada sebarang kejadian aneh atau misteri yang berlaku pada saya, pelakon serta kru lain,” katanya.

Busut Bonang yang bakal ditayangkan pada 19 Disember ini turut dibintangi Nadzmi Adhwa, Along Eyzendy, Jasper Supayyah, Hairi Safwan, Aloy Paradox, Rashidah Jaafar, Sharonizam Noor dan Ropie.

Filem terbitan Alfanazra Productions itu akan ditayangkan di lebih 57 pawagam di seluruh negara. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend