• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Aiman Hakim Rajin Buat Kerja Rumah Sepanjang Tempoh PKP

Di saat negara kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, usia perkahwinan pasangan pelakon Aiman Hakim Ridza dan Zahirah MacWilson masih belum mencecah sebulan selepas mereka selamat diijabkabulkan pada 20 Februari lalu di Damansara Perdana.

Lalu kesempatan itu digunakan sepenuhnya Aiman, 31, untuk membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak dan mengemas kediaman mereka.

“Sepanjang tempoh PKP tempoh hari saya ambil peluang itu untuk belajar memasak dan mengemas rumah. Kerja-kerja basuh pinggan, mop dan sapu lantai memang saya buat sendiri.

“Saya juga banyak belajar tentang selok-belok rumah tangga serta belajar lebih mengenali isteri dengan lebih mendalam sepanjang tempoh tersebut,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika sidang media virtual drama terbaharu lakonannya, Bila Cupid Jatuh Cinta.

Bercerita lanjut tentang cabaran lain yang dihadapinya sepanjang PKP, Aiman yang mengusahakan perniagaan restoran BakerFellas di Ara Damansara berkata dia kini sedang mengatur semula perniagaannya yang terjejas sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara.

“Memang perniagaan saya terjejas sebab terlibat dalam bisnes F&B (food & beverage). Selepas keadaan beransur pulih, saya sedang struktur semula perniagaan. Perlahan-lahan kita lihat orang pun sudah semakin percaya untuk makan di luar balik, Alhamdulillah semua sudah kembali normal sekarang,” ujarnya lagi.

>Baca: Dituduh Riak, Hafidz Roshdi Tidak Lagi Muat Naik Gambar Di Masjid

Sementara itu dalam perkembangan lain, Aiman kini tampil dengan drama bersiri Bila Cupid Jatuh Cinta bergandingan dengan Octavia Manrose selaku heroin.

Sering melakonkan watak dalam naskah komedi romantik, Aiman berkata dia cukup menggemari genre tersebut malah tidak kisah perlu berulang kali menggalas peranan sebegitu di masa akan datang.

“Saya memang suka berlakon drama komedi romantik dan walapun ini merupakan kali pertama saya digandingkan dengan Octavia namun kami cukup serasi sebab dia pun sama-sama sempoi dan boleh memberi bila saya ‘ad-lib’ (spontan) dalam dialog.

“Drama ini cukup menarik kerana penggambarannya dibuat dalam dua tempoh yang berbeza iaitu sebelum dan selepas PKP. Sebelum PKP masa penggambaran itu memang kami dah berasa risau dah tapi tetap jalankan tugas seperti biasa. Selepas penggambaran dibenarkan sambung semula bermula 10 Jun lalu, kami berasa sedikit janggal ketika penggambaran di Bukit Bintang bila mana semua orang lalu-lalang pakai mask, tapi kami tak perlu pakai demi mengikut konti drama tersebut.

“Secara keseluruhannya drama ini cukup menarik kerana ada pendekatan baharu dari segi mainan kamera kerana watak Oktavia akan bercakap dengan kamera seolah meluahkan isi hatinya terus kepada lensa kamera, itu yang uniknya drama ini,” katanya lagi.

Bila Cupid Jatuh Cinta mengisahkan Fira yang bekerja di agensi mencari jodoh diberi tugasan untuk mendapatkan calon kekasih bagi dijodohkan dengan anak rakan baik bosnya, Dani. Sebaliknya yang berlaku apabila Fira pula yang secara diam-diam menyimpan perasaan terhadap Dani.

Drama arahan Bahri Uma ini ditayangkan pada setiap Sabtu, jam 9 malam bermula sejak 4 Julai lalu. Ia turut dibintangi Elfira Loy, Ikmal Amry, Bella Dowanna, Afifah Nasir, Sham Visa dan Dynas Mokhtar. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend