
Ain Edruce Akui Bapa Tidak Gemar Dia Bawa Watak Antagonis
Walaupun mendapat pujian ramai susulan lakonan cemerlangnya dalam drama bersiri Camelia, namun Ain Edruce menyatakan ada seorang individu yang cukup rapat dengannya tidak menggemari watak antagonis yang dilakonnya.
Menurut Ain, 29, bapanya, Edruce Sabri tidak berkenan apabila dia menjayakan watak jahat kerana takut peminat menyangkakan dia sememangnya seorang yang perwatakan negatif seperti yang dipaparkan di kaca televisyen.
“Sebenarnya ayah saya tidak suka saya bawakan watak jahat kerana dia risau penonton akan labelkan saya jahat seperti dalam drama tersebut.
“Apabila dia (ayah) tengok saya berlakon, dia sebut nama penuh saya, tak panggil dengan nama watak yang saya pegang itu, seolah-olah dia terbawa-bawa dengan watak Marina yang dilakonkan saya.
“Disebabkan perkara itu, ayah ada berpesan lepas ini jangan ambil lagi watak-watak jahat. Saya faham niat ayah yang tak nak masyarakat labelkan saya dengan watak antagonis yang dibawakan tapi saya dah ingatkan dia itu adalah karakter semata-mata,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Ain ditemui pada majlis sidang media pengumuman Top 12 Hero Remaja 2020 yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada acara itu juga, Ain diumumkan sebagai hos program Hero Remaja 2020 yang akan ditayangkan di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) bermula 27 Februari ini.
“Saya anggap program ini sebagai satu cabaran buat saya dalam mengawal diri mengikut format rancangan ini. Saya akan sesuaikan diri dan perlu tahu masa bila saya perlu berperangai gila-gila dan serius,” ujarnya.
Peserta Hero Remaja 2020 akan diadili dua juri tetap iaitu Datuk Hans Isaac dan Scha Al-Yahya. – KopiPlanet.com