• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Aina Abdul Tekad Mahu Bertarung Habis-Habisan Untuk AJL 34

Walaupun enggan meletakkan harapan terlalu tinggi, namun penyanyi Aina Abdul menegaskan dia akan bertarung habis-habisan untuk memberikan kelainan pada persembahan lagu Sumpah yang bakal dibawakannya dalam pertandingan berprestij Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL), Februari depan.

Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 26, mara ke pentas akhir AJL 34 selepas lagu ciptaannya berjudul Sumpah berjaya mara antara 12 finalis selepas diumumkan pada minggu ketiga Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM 34) pada 29 November lalu.

“Setakat ini saya boleh katakan sebanyak 40 peratus persiapan sudah dilakukan. Ini kali pertama saya berjaya melangkah ke pentas berprestij AJL sudah tentunya saya dan pasukan saya banyak ‘brainstorm’ dengan melihat semula persembahan kesemua finalis tahun lalu. Kami cuba nak buat suatu konsep yang masih belum lagi pernah dibuat oleh mana-mana finalis sebelum ini. Saya tak boleh jelaskan lebih lanjut, tunggu sahaja nanti.

“Buat masa ini, saya belum ‘all out’ lagi jaga pemakanan seperti tidak minum ais dan sebagainya tetapi masuk sahaja bulan Januari, saya akan buat latihan vokal selain pergi ke pusat gimnasium untuk tingkatkan stamina menjelang malam kemuncuk AJL 34,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui di Citta Mall, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Diminta mengulas lanjut mengenai bakatnya yang turut diterima baik di kalangan selebriti tanah air seperti Datin Alyah, Ernie Zakri dan Elly Mazlein, Aina berkata dia cukup teruja dengan sambutan yang diberikan mereka.

“Sudah tentu saya gembira dengan sokongan mereka sebab saya sendiri masih baharu dalam industri ini. Dengan pendedahan daripada mereka sedikit sebanyak nama saya dikenali di kalangan peminat setia penyanyi-penyanyi tersebut.

“Saya tidak nafikan ada di kalangan pendengar yang baru tahu tentang kewujudan saya selepas melihat persembahan saya pada malam separuh akhir itu tetapi saya tidak kisah dengan perkara itu sebab saya sedar diri masih lagi baharu dan akan cuba perbaiki apa yang kurang untuk terus maju di masa akan datang,” ujarnya lagi.

Aina bakal bersaing dengan 11 lagu lain pada AJL 34 iaitu Sumpah nyanyian Naim Daniel, Kisah Cinta Kita (Hafiz Suip), Rampas (Akim & The Majistret), Ernie Zakri (Ku Bersuara), Peneman (Hazama & The Penglipur Lara), Drama (Drama Band), Bangun (Aman RA), Ragaman (Fairuz Misran), Anta Permana (Bob Yusof), Lembah Kesepian (Haqiem Rusli) dan Dinda (Kugiran Masdo).

Sementara itu, Aina bakal tampil dengan single terbaharu berjudul Semalam yang akan dilancarkan pada Mac depan. – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Instagram Aina Abdul

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend