
Aishah Enggan Campur Aduk Karier Nyanyian, Politik
Penyanyi Aishah yang baharu sahaja dinobatkan sebagai juara program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4) mendedahkan dia enggan mencampur adukkan kerjaya nyanyian dengan penglibatannya dalam politik.
Menurut Aishah, beliau percaya setiap selebriti berhak untuk menyokong mana-mana parti politik mengikut fahaman masing-masing, tetapi dengan syarat seseorang itu perlu bijak untuk membahagikannya agar ia tidak dicampur adukkan.
“Saya tidak akan ketepikan fahaman politik, tetapi apabila berkecimpung dalam bidang nyanyian, saya tak campur adukkan dengan perkara-perkara lain dan ia seharusnya begitu.
“Bagi saya setiap artis itu mempunyai hak untuk ada pendirian sendiri (dalam menyokong parti politik),” katanya kepada KopiPlanet.com.
Aishah ditemui pada majlis sidang media Konsert Akhir GV4 di Pinewood Studios, Johor Bahru, Ahad malam tadi.
Sebelum ini, beliau pernah bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada tahun 2013 untuk kerusi Parlimen di Jempol mewakili PAS.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perancangannya selepas berakhir GV4, Aishah berkata dia kini mahu lebih banyak aktif dalam bidang seni.
“Sebelum ini saya memang aktif, cuma jarang keluar televisyen. Saya tidak pernah tinggalkan bidang nyanyian. Jadi dengan menyertai GV4, matlamatnya sampai untuk perkenalkan kembali artis lama kepada generasi muda,” katanya.
Dengan kemenangan itu, Aishah membawa pulang wang tunai RM100,000 sumbangan Astro dan Qu Puteh, sebidang lot tanah banglo sumbangan Bina Megah Empire, pakej percutian ke Eropah Timur sumbangan selamatbercuti.com, barangan kemas sumbangan DSV Gold & Jewelry, baucer membeli belah bernilai RM6,000 sumbangan Go Shop dan sebuah trofi. – KopiPlanet.com
Kredit gambar: Instagram Gegar Vaganza Official



