
Alyah Enggan Lagi Jawab Persoalan Mengenai Rumah Tangga
Penyanyi Alyah mengambil keputusan untuk tidak lagi menjawab sebarang persoalan mengenai rumah tangga yang dibina bersama Datuk Ramli MS.
Alyah menerusi satu status di laman Instagramnya berkata, sepanjang lapan tahun hanya dia seorang sahaja yang menjawab persoalan tentang perkahwinannya.
“Dan hari ini saya ingin memberitahu yang saya tidak akan lagi menjawab segala soalan mengenai rumah tangga saya mahu pun mengenai (si dia) terpulang kepada kamu ingin mentafsirkan apa.
“Saya percaya hanya Allah SWT sahaja tahu apa yang ada di dalam ini… Mungkin saya telah mencuit atau mengguris hati di luar sana. Saya Alyah dengan serendah diri memohon maaf kerana saya telah membuatkan kamu kecewa,” ujarnya.
Situasi rumah tangganya dengan pengarah muzik berkenaan dilihat seolah-olah sedang bergolak apabila dia meninggalkan komen di laman sosial suaminya.
Alyah menerusi ruang komen menyindir Ramli yang memuat naik video memperlihatkan pengacara Jihan Muse dan Nabil Ahmad membuat ucapan hari jadi kepadanya.
Dalam pada itu, penyanyi itu juga menyatakan sebelum dia meninggalkan komen tersebut, dia sudah pasti dengan akibatnya dan pasti dengan apa yang dilakukannya itu.
“Saya tiada niat untuk mengaibkan sesiapa. Dan kejadian ini tidak terjadi pada setiap hari. Saya percaya ini juga gerak dari Allah SWT bagi mengingatkan saya juga.
“Mungkin kami terleka dengan ego dan sifat sering menyalahkan,” jelasnya. – KopiPlanet.com