• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Alyah Sebak Lancar Lagu Baharu, Nafi Ada Kaitan Kisah Rumah Tangga

Penyanyi Datin Alyah tidak dapat menahan sebak dan air mata ketika menyampaikan lagu terbaharu dendangannya, Meluruh pada majlis pelancaran muzik video lagu tersebut yang berlangsung di TGV, One Utama, Damansara hari ini.

Menurut Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan, 38, dia mengalirkan air mata ketika menyanyikan Meluruh bukan disebabkan mengenai isu peribadi atau kisah rumah tangganya.

Sebaliknya, melodi dan lirik lagu Meluruh yang diganbarkannya sebagai mewakili suka dukanya sepanjang 19 tahun menghambakan diri dalam bidang seni.

Alyah tidak dapat menahan sebak ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video dan single Meluruh nyanyiannya.

“Saya sebak tadi (ketika menyanyikan lagu) bukan disebabkan ada masalah peribadi atau rumah tangga. Sebaliknya, lagu ini benar-benar menceritakan pengalaman saya sebagai anak seni yang sudag hampir dua dekad lamanya.

“Lagu Meluruh ini cukup terkesan di hati sebab bila saya imbau kembali perjalanan dalam kerjaya seni, saya ingat balik momen-momen macam mana orang di sekeliling saya layan saya bila saya berada di puncak kejayaan dan juga bila saya berada di bawah.

“Saya dah lalui semua pengalaman itu bila mana ada orang di sekeliling saya yang bila berada di depan kita, semuanya baik-baik sahaja. Tapi bila di belakang kita cakap buruk-buruk pasal kita. Itu semua asam garam yang dilalui semua orang,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Selain itu, Alyah turut mendedahkan kadang-kala dia berasa rimas apabila ramai pihak gemar membuat andaian bahawa lagu-lagu balada nyanyiannya adalah berkisarkan tentang rumah tangganya bersama suami, Datuk Ramli MS.

“Kadang-kala saya ada juga rasa rimas dikaitkan dengan kisah rumah tangga, nyanyi lagu rancak pun mereka kaitkan juga.

“Mereka tak penat ke buat andaian begitu sebab saya sendiri pun dah penat dengar benda itu.

“Sampaikan saya rasa nak berdepan dengan haters lagi sukar daripada saya menjalani kehidupan sendiri,” katanya lagi.

Lagu Meluruh merupakan ciptaan komposer Helen Yap manakala liriknya ditulis oleh Rodslen Fadzil.

Muzik video single tersebut yang menjalani penggambaran di Terengganu merupakan arahan Ghaz Abu Bakar.

MV Meluruh akan ditayangkan di saluran Youtube Warner Music Malaysia bermula jam 8 malam ini. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend