Cerita ArtisHiburan

Amir Masdi Taruh Harapan ‘Asmara’ Melangkah Ke Pentas AJL

Sejak menjuarai Akademi Fantasia (AF) 2016, Amir Masdi atau pemilik nama sebenar Amir Syazwan Masdi ini tidak pernah lelah untuk berusaha mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tempatan.

Sebelum ini, penyanyi yang lebih mesra disapa sebagai Amir ini pernah menghasilkan single ‘Pemilik Cinta’ (2016) bersama Astro dan kemudiannya menghasilkan single ‘Waktu’ (2017) dan ‘Puas’ (2018) bersama Nova Music.

Baru sahaja muncul dengan lagu ‘Kau Sakiti’ terbitan Faithful Music pada Julai lalu, kini Amir bakal muncul lagi dengan taruhan terbaharunya. Kali ini, penerbitan single terbaru dan ke-5 Amir berjudul “Asmara” mendapat sokongan usahasama Nova Music dan Seventeen Eleven Music.

Mengulas tentang perjalanan seninya yang bukan kebiasaan merakam lagu dengan banyak syarikat rakaman dalam tempoh masa yang singkat, Amir berkata, “Sebenarnya ini kebetulan sahaja, bukan perancangan saya pun untuk berbuat begitu. Bagi saya, untuk terus kekal relevan dalam industri, kita harus merebut setiap peluang yang tiba.”

“Saya bersyukur kerana masih ada yang yakin dengan bakat dan potensi saya. Saya juga merasa amat bertuah kerana pengalaman bekerja dengan syarikat rakaman yang berlainan ini telah memberikan saya peluang menimba banyak ilmu tentang muzik dan penerbitan lagu kerana masing-masing ada cara dan gaya yang tersendiri.”

“Kali ini, saya bekerjasama sekali lagi dengan Nova Music yang telah menjalin kerjasama dengan Seventeen Eleven Music dalam penerbitan dan pemasaran single terbaru saya berjudul “Asmara”. Saya percaya dengan kekuatan gabungan kedua-dua syarikat rakaman ini, single terbaru saya ini boleh mendapat pendedahan yang lebih meluas.

“Hubungan kerjasama yang rapat antara Nova Music /Seventeen Eleven Music dengan syarikat produksi drama tempatan meyakinkan saya lagi dengan kemampuan mereka kerana kerjasama strategik ini banyak membantu dalam memperkenalkan sesebuah lagu itu kepada khalayak,” jelas Amir lagi yang gembira apabila single terbaharunya ini diangkat sebagai OST drama ‘Pengantin Lelaki Untuk Cik Gadis’ lakonan Nafiz Muaz dan Uqasha Senrose.

‘Asmara’ merupakan hasil ciptaan komposer terkenal Ikhwan Fatanna, Ayden Ali dan John Jeevasingham. Manakala lirik pula ditulis oleh trio komposer ini bersama penerbit drama ‘Pengantin Lelaki Untuk Cik Gadis’ iaitu Arisz Ab Rahman.

“Saya berharap lagu ini dapat menaikkan lagi profil saya sebagai seorang penyanyi dan mampu membawa saya ke pentas berprestij seperti ‘Anugerah Juara Lagu’ dan ‘Anugerah Industri Muzik’. Sekurang-kurangnya, ianya dapat mengukuhkan lagi nama saya dan mengekalkan momentum kerjaya seni saya dalam industri muzik tempatan,” ujar Amir yang turut berharap agar peminat akan menyambut positif lagu ini dan terus menyokong kerjaya seninya.

Single terbitan Nova Music dan Seventeen Eleven Music ini boleh didapati di kesemua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button