
Arjun Rampal Curang, Akhiri Perkahwinan 20 Tahun Dengan Isteri
Pelakon Bollywood, Arjun Rampal akhirnya tampil membuat kenyataan bahawa perkahwinannya selama 20 tahun dengan bekas ratu cantik India, Mehr Jesia tidak dapat diselamatkan lagi.
Pasangan ini mengumumkan perpisahan mereka pada Selasa lalu kepada pihak media.
“Setelah lebih dua dekad hidup bersama, saya ingin menghebahkan bahawa perkahwinan kami sampai di sini sahaja.
“Walaupun tidak lagi bergelar suami isteri, hubungan kami akan kekal baik demi kebaikan anak-anak,” kata kenyataan yang ditulis oleh Arjun.
Hasil perkahwinan, Arjun dan Mehr mempunyai dua anak perempuan, Myra, 16, dan Mahikaa, 13.
Difahamkan pasangan ini mula bermasalah sejak dua tahun lalu dan mereka mencuba untuk menyelamatkan mahligai yang dibina namun akhirnya kecundang jua.
Beberapa laman gosip di India mengatakan kecurangan Arjun sebagai penyebab kepada keruntuhan tersebut.
Arjun diceritakan sering mengunjungi isteri aktor Hrithik Roshan, Susanne Khan semenjak tahun lalu namun pihak Arjun tidak menjawab sebarang persoalan berhubung khabar angin tersebut. – KopiPlanet.com