Cerita ArtisHiburan

Azlan Tak Kisah Bekerja Dengan BBNU, Tertarik Lirik Nukilan YonnyBoii

Walaupun sudah lama bertapak dalam industri hiburan tempatan, Azlan Typewriter atau nama sebenarnya, Nor Azlan Rosle, 38, menyatakan dia tidak kisah untuk bekerjasama dengan penyanyi baharu.

Menurut Azlan, kolaborasi terbaharunya dengan penyanyi YonnyBoii menerusi single Kelabu menunjukkan prinsipnya yang berpegang kepada konsep keterbukaan dan percaya bahawa muzik itu bersifat universal.

Karya usahasama sulung Universal Music dan Indigital Music ini secara tidak langsung menyaksikan gabungan artis genarasi lama dan baharu yang sekali gus memberi cetusan segar yang diharap dapat menambat hati peminat muzik tempatan.

“Saat dipelawa untuk berduet dengan YonnyBoii, saya sendiri teruja untuk menjadi sebahagian daripada sejarah yang bakal dicipta ini. Sejak awal mendengar melodi lagu ini, ia sudah menambat hati saya. Malah saya boleh katakan ini sebagai satu eksperimen berbeza apatah lagi menyatukan dua generasi penyanyi.

“Bagaimanapun saya mengambil masa untuk menyatakan persetujuan terbabit menyanyikan lagu ini. Namun hingga kini, saya percaya keputusan untuk turut serta dalam karya ini bukan sia-sia.

“Malah selepas dikaji dan diamati dengan mendalam gabungan suara kami ini, ia mungkin akan dapat memperkuatkan lagi metabolisma aura lagu berkenaan. Kami sebenarnya cuba saling melengkapi antara satu sama lain,” kata Azlan.

Rakaman lagu ini dibuat secara berasingan sekitar April lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

“Kebetulan rumah kami masing masing dilengkapi studio, jadi proses rakaman secara berasingan itu bukan masalah besar. Apatah lagi di saat penularan wabak pandemik Covid 19 hingga dikuatkuasakan PKP menuntut lebih banyak masa di rumah.

“Saya turut mengubah semula komposisi muzik ini. Proses memasukkan rakaman suara saya untuk lagu ini dalam tempoh lebih kurang enam jam. Saya perlu ambil masa ini untuk memastikan kualiti vokal sendiri disunting tanpa terlalu banyak proses suntingan.

“Malah untuk menambah ‘feel’, saya banyak membuat latihan telinga dengan kembali mendengar lagu berentak R&B dan rock sebagai rujukan serta ilham,” kata Azlan.

Ketika ditanya mengenai YonnyBoii, penyanyi lagu Jangan Khianati Aku ini melihat komposer dan penyanyi hip hop muda itu sebagai cukup berbakat besar.

“Apa yang saya lihat dia sangat peka kepada bunyi baru yang agak moden. Eksperimentasinya pada saya sangat berjaya. Lihat saja aliran perjalanan lagu Sakit dendangannya menampilkan Zynakal ia cukup istimewa dan mempesonakan.

“Melihat konteks nyanyiannya daripada segi seni vokal teknik R&B, dia dalam kategori cemerlang. Cuma nasihat saya penyanyi masa kini sepertinya perlu menetapkan hala tuju mereka supaya industri ini sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman,” katanya.

Kelabu kini sudah boleh didengari menerusi semua aplikasi penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, JOOX, YouTube Music, dan KKBox. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button