
Aznil Akui Puas Dapat Berlakon Dengan Pelakon Gred A
Pengacara nombor satu negara, Datuk Aznil Nawawi melahirkan perasaan puas dan teruja apabila dapat bekerjasama dalam sebuah filem dengan pelakon-pelakon bertaraf Gred A.
Yang terbaharu, Aznil atau lebih sinonim dengan panggilan Pak Nil bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Makrifat Cinta yang turut dibintangi Syamsul Yusof, Nabila Huda, Nora Danish dan Adi Putra.
“Walaupun kemunculan saya hanya sebagai cameo (penampilan khas), tetapi saya rasa puas dapat berkerjasama dengan pelakon-pelakon yang kita panggil Gred A.
“Dalam Makrifat Cinta, saya tidak berasa sukar untuk lakonkan watak yang diberikan kerana saya perlu jadi diri sendiri sahaja dalam filem ini. Untuk naskhah ini, saya berlakon sebagai seorang pengacara yang membongkar cerita usahawan berjaya.
“Masa terima tawaran ini, saya tidak tengok skrip. Saya terus terima sebab banyak pelakon berbakat dalam filem ini. Mereka semua pelakon hebat seperti Syamsul Yusof, Nabila Huda, Nora Danish dan Adi Putra, semua nama-nama hebat,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com dalam satu majlis temu ramah di Astro, Bukit Jalil baru-baru ini.
Makrifat Cinta merupakan filem arahan pengarah kelahiran India, Kamal G yang sebelum ini sering muncul dengan filem-filem blokbuster Tamil. Ia bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 1 Februari ini.
Walaupun hanya membuat kemunculan khas dalam filem ini, Aznil tetap memberikan sepenuh komitmen untuk tujuan promosi dan publisiti filem tersebut.
Menurut personaliti tv berusia 56 tahun itu, ia merupakan tanggungjawabnya sebagai seorang pelakon untuk memberikan komitmen agar filem itu mendapat sambutan ramai.
“Bagi saya, ia memang sudah menjadi tugas seorang pelakon untuk turun sama-sama memberikan sokongan, baik dari segi promosi dan publisiti sesebuah filem itu agar ia mendapat sambutan daripada orang ramai.
“Tidak kisahlah watak saya walaupun cuma cameo sahaja, tetapi saya rasa ‘bersalah’ jika tidak memberikan sepenuh komitmen. Ini sudah tanggungjawab saya, jadi saya hanya jalankan sahaja,” katanya.
Ketika ditanya apa nasihat yang boleh diberikan kepada pelakon generasi baharu yang dilihat agak ‘liat’ mahu turun padang mempromosikan naskhah lakonan mereka sendiri, ini jawapan ringkas daripada Pak Nil, “Nak tahan lama kena beri komitmen!”
Sementara itu, Aznil turut menjelaskan beliau kurang membintangi mana-mana filem atau drama sejak kebelakangan ini adalah disebabkan beliau akan membuat ulangkaji mengenai sesebuah produksi yang memberi tawaran kepadanya terlebih dahulu.
“Saya bukan seseorang yang memilih pengarah. Sebaliknya jika dapat tawaran, saya akan tengok dulu produksi itu. Kalau mereka jenis yang sentiasa berdisplin dari segi masa, baik daripada barisan pelakon dan krew penggambaran, pasti saya senang hati menerimanya.
“Pernah terjadi pada saya, call time kata pukul 9 pagi, tetapi sampai pukul 6 petang tak shoot lagi. Disebabkan itu saya jadi agak serik nak berlakon. Lepas ini kalau dapat mana-mana tawaran memang saya akan tengok dahulu perkara ini semua,” katanya. – KopiPlanet.com



