Cerita ArtisHiburan

Babak Silat Buat Yayan Ruhian Terima Tawaran Mat Kilau

Pelakon Indonesia, Yayan Ruhian tertarik untuk membintangi filem Mat Kilau kerana sukakan elemen seni silat yang akan dimasukkan dalam naskhah tersebut.

Yayan, 50, yang sebelum ini pernah membintangi filem Star Wars: The Force Awakens berkata, budaya serumpun yang dimiliki Malaysia dan Indonesia juga menyebabkannya berasa senang untuk bekerjasama dengan produksi dari Malaysia.

“Sejujurnya ketika ditawarkan untuk berlakon dalam filem Mat Kilau, saya memang tidak mengetahui kisah perjuangan tokoh pejuang Melayu itu. Saya lebih tertarik dengan elemen seni mempertahankan diri silat yang sememangnya budaya serumpun yang dimiliki Malaysia dan Indonesia.

“Filem ini juga membuka mata generasi muda masa kini agar cintakan seni pencak silat yang menjadi kebanggaan dua negara ini,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Mat Kilau di Dataran Karyawan Finas, Ulu Klang baru-baru ini.

Mat Kilau yang diarahkan oleh Syamsul Yusof itu turut dibintangi Datuk Adi Putra, Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan As’ari, Ali Karimi dan Nadiya Nisaa.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM5 juta itu telah memulakan penggambaran sejak semalam dengan mengambil lokasi di sekitar Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.

Untuk naskhah kali ini, Yayan akan membantu melancarkan pergerakan silat yang akan dilakukan oleh barisan pelakon terlibat.

Menurutnya, perkara itu tidak menjadi masalah buatnya memandangkan dia akan turut dibantu oleh dua rakannya yang turut diterbangkan khas dari Indonesia untuk tujuan itu.

“Selain buat koreografer silat, saya juga turut berlakon dalam filem ini. Untuk tujuan koreografer, saya akan dibantu oleh dua lagi rakan yang juga cukup mahir dalam bidang persilatan,” katanya.

Dalam pada itu, Yayan turut mendedahkan dia mula melibatkan diri dalam bidang persilatan sejak belasan tahun lagi kerana merasakan ia satu perkara yang cukup ‘kool’ untuk dilakukan pada ketika itu.

“Saya suka dengan silat sejak berumur 15 tahun lagi sebabnya saya rasa ia satu perkara yang cukup ‘koo’l untuk remaja pada ketika itu.

“Namun seiring dengan perkembangan usia, saya mula sedar kepentingan untuk seseorang belajar seni mempertahankan diri kerana ia sangat berguna untuk kita apabila berdepan dengan kecemasan di masa hadapan,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button