Rancangan TVTV

Bacaan Taranum Jadi Kriteria Utama Pemilihan Peserta Dai’ 6

Setelah dianjurkan selama lima musim, program realiti yang melahirkan pendakwah muda berkaliber, Dai’ kini diteruskan untuk musim ke-6.

Penerbit Dai’ 6, Shukri Ibrahim berkata, biarpun konsep pertandingan sama seperti musim-musim sebelumnya, namun ada beberapa pembaharuan yang cuba dilakukan dalam pemilihan peserta.

“Untuk kali ini kami tidak melihat kepada kemampuan menyampaikan tazkirah sahaja, tetapi kami turut menekankan kepada bacaan ayat Al-Quran.

“Dalam setiap tazkirah yang disampaikan perlu diselitkan petikan ayat Al-Quran berdasarkan tajuk tazkirah dan paling utama bacaannya haruslah mengikut taranum,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran dan memperkenalkan barisan 10 peserta yang akan bersaing merebut gelaran juara.

Antara peserta yang akan bertanding adalah Da’i Syahmi, Da’i Imran, Da’i Amirul, Da’i Wafi, Da’i Adam, Da’i Haziq, Da’i Danial dan Da’i Hafiz serta dua peserta wanita iaitu Da’i Raisyah dan Da’i Syazwani.

Bercerita lebih lanjut mengenai pemilihan peserta, Shukri memberitahu bahawa seramai 600 peserta telah menjalani proses ujibakat di lapan buah lokasi terpilih.

“Boleh dikatakan ramai yang hadir ke ujibakat telah menonjolkan kelebihan masing-masing, cuma kebanyakannya gagal dari segi taranum ketika membaca petikan ayat Al-Quran.

“Itu juga antara menjadi penyebab utama kami hanya dapat memilih dua orang peserta wanita sahaja yang berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan,” jelasnya.

Untuk saingan kali ini, Da’i 6 menampilkan Datuk Ustaz Mohd. Zawawi sebagai Mursyid serta Ustaz Harryanto Rizal Rokman dan Ustaz Fakhrul Radhi Khamarudin selaku Murrabi.

Sementara itu, tugas juri pula disandang Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Profesor Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail dengan penilaian berdasarkan pengisian Al-Quran & Hadis, gaya dan susunan isi serta kreativiti persembahan.

Masih mengekalkan Datuk Rosyam Nor sebagai hos dan dibantu oleh finalis Da’i musim kedua iaitu Da’i Izzhar, Da’i 6 akan bersiaran secara langsung mulai 20 Julai 2018 pada setiap Jumaat bermula pukul 9.00 malam.

Juara program realiti tersebut akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM60,000, manakala RM15,000 untuk pemenang tempat kedua dan RM10,000 bagi peserta yang muncul pemenang tempat ke-3. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button