Viu, platform penstriman video terkemuka PCCW, sekali lagi mencuri perhatian penonton menerusi pelancaran siri Viu Original terbaharu, Bayangan Dendam (Nowhere To Hide).
Drama misteri, jenayah dan percintaan 12 episod ini akan menemui penonton bermula 22 Oktober 2026, dengan episod baharu disiarkan pada setiap hari Khamis dan Jumaat.
Bayangan Dendam menampilkan kemunculan sulung pelakon popular Nadhir Nasar dalam produksi Viu Original, bergandingan dengan dua pelakon wanita terkenal, Erysha Emyra (Viu Original Satu Dua… Dia?) dan Sophia Albarakbah (Viu Original From Saga With Love).
Trio ini menerajui barisan pelakon hebat termasuklah Emelda Rosemila, Yusuf Bahrin, Mia Nasir, Faha Azhar dan Lan Siro.
Dibawakan khas oleh MILO®, Bayangan Dendam turut menyaksikan gandingan sulung dua duta rasmi jenama berkenaan, Nadhir Nasar dan Erysha Emyra, di layar skrin.
Selepas sering mewakili jenama terkemuka ini dalam pelbagai kempen media, drama bersiri ini menjadi naskhah pertama yang menyatukan kedua-dua ikon belia popular tersebut menerusi watak utama yang sarat dengan konflik, emosi, dan misteri.

Mengangkat kisah persahabatan, pengkhianatan dan satu kematian mengejut yang merungkai pelbagai rahsia, Bayangan Dendam berkisar tentang kehidupan dua sahabat baik, Melissa (Sophia Albarakbah) dan Ariana (Erysha Emyra), yang akrab sejak zaman persekolahan.
Apabila teman lelaki Melissa, Farhan (Nadhir Nasar), melanjutkan pengajian ke luar negara, Melissa meminta Ariana yang menuntut di universiti sama untuk untuk memerhati dan menjaga Farhan secara senyap.
Namun, apa yang bermula sebagai satu permintaan biasa bertukar menjadi di luar jangkaan apabila Farhan dan Ariana mula jatuh cinta.
Terluka dengan hubungan sulit itu, Melissa cuba meneruskan kehidupannya sementara ketiga-tiganya terperangkap dalam situasi yang semakin rumit.
Sebelum kebenaran sempat terbongkar, Melissa ditemui mati dalam keadaan yang pada mulanya kelihatan seperti kes bunuh diri. Memandangkan Ariana, Farhan, dan individu di sekeliling mereka turut menyimpan rahsia tersendiri, setiap daripada mereka kini menjadi suspek.

Di sebalik segala pengkhianatan dan rahsia yang tersimpan, satu persoalan terus menghantui mereka: Siapakah yang membunuh Melissa?
Berdasarkan konsep asal oleh Viu, projek ini merupakan terbitan thriller sulung bagi Global Film Station dengan kerjasama Viu, serta mendapat sentuhan arahan HelmiYusof.
Menariknya, drama ini menandakan peralihan drastik buat pengarah itu, yang sinonim dengan naskhah komedi ringan popular seperti Viu Original Abang Imam Minah Skuter dan Ate Kome, I Love You, kini mencabar diri menghasilkan karya yang lebih tegang dan mendebarkan.
Ikuti kami di Facebook, Instagram, YouTube, X, dan TikTok. Muat turun aplikasi Viu melalui App Store, Google Play, Huawei AppGallery serta TV pintar terpilih, atau layari www.viu.com. – KopiPlanet.com




