• FOLLOW US
Hiburan, Rancangan TV

Bijak & Kacak Seiring, 12 Jejaka Terpilih Finalis Hero Remaja 2020

Program pencarian Hero Remaja yang banyak melahirkan bakat-bakat baharu dalam bidang pengacaraan, lakonan dan peragaan kini kembali buat kali ke-10 semenjak edisi pertamanya pada tahun 1990.

Menerusi sesi ujibakat yang dilakukan pada hujung bulan Disember lalu, seramai 600 jejaka hadir mencuba nasib namun rezeki akhirnya menjadi milik 12 peserta yang telah diumumkan pada satu majlis sidang media Hero Remaja 2020 yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur semalam.

Editor Pengurusan Majalah Remaja, Fiezreen Ahmad berkata, kesemua peserta akan dikuarantin selama dua bulan selain pelbagai aktiviti telah dirangka bagi menguji karisma serta kebijaksanaan IQ dan EQ para peserta.

“Untuk edisi kali ini, kami akan kuarantin peserta selama dua bulan dan mereka akan diuji dengan pelbagai ujian dan aktiviti yang telah kami rangka untuk Hero Remaja 2020. Kesemuanya aktiviti itu akan meliputi pelbagai aspek seperti public speaking, fesyen, lakonan dan lain-lain lagi.

“Pihak kami mahu melahirkan seorang Hero Remaja yang ‘all rounder’ selain boleh mewakili suara remaja lain di luar sana. Kalau dilihat di sini kesemua peserta ini bukan hanya bersandarkan kepada rupa semata-mata sebaliknya mereka juga mempunyai pengetahuan yang tinggi yang juga merupakan antara kriteria utama kenapa mereka terpilih,” ujarnya.

12 finalis tersebut ialah Nadhir berusia 24 tahun, Aniq (20), Umar (22), Haziq (23), Azri (24), Hariz (18), Meerqeen (19), Jazmy (22), Imran (21), Tom (23), Jabir (20) dan Azim (23).

Hero Remaja 2020 bakal bersiaran bermula 27 Februari ini di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123). Para peserta bakal diadili oleh dua juri tetap iaitu Datuk Hans Isaac dan Scha Al-Yahya.

Ain Edruce dipilih mengemudi program yang akan bersiaran selama lapan episod itu.

Hero Remaja sudah melahirkan ramai alumni-alumni popular mereka seperti Fattah Amin, Syafiq Kyle, Kamal Adli, Saharul Ridzwan, Ashraf Sinclair, Azhar Sulaiman, Badrul Muhayat, Esma Daniel, Norman Hakim, Eizlan Yusof dan Zed Zaidi. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend