• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

“Bila Kita Buat Benda Bagus, Tiada Yang Berterima Kasih” – Hans Isaac

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac menyatakan dia mampu mengatasi segala tekanan dan kritikan yang dilemparkan terhadapnya semenjak dilantik tujuh bulan lalu.

Hans berkata, sepanjang memegang jawatan tersebut dia sudah lali dengan kritikan, namun berharap orang dalam industri memberikan sokongan agar pihaknya dapat melakukan kerja dengan sebaik mungkin.

“Setiap hari kami (Finas) ambli langkah untuk membantu industri. Kami bekerja tujuh hari seminggu, takkan kami nak hebah-hebahkan pada semua orang. Bila kita buat benda bagus, tiada orang nak berterima kasih dan mereka diam sahaja.

“Bila kita buat salah, pantas orang nak kritik. Dalam industri ini, kita kena ‘trial and error’. Kita kena mencuba, kadang-kadang jadi, kadang-kadang sebaliknya. Itu saya faham dan disebabkan itu saya berani pegang jawatan ini sebab yakin boleh membantu. Setakat ini memang saya boleh ‘handle’ segala tekanan yang diberikan kepada saya.

“Saya cuma nak bertanya, ada tak orang dalam industri yang berterima kasih terhadap kami ini yang dah buat kerja. Sepanjang tujuh bulan dalam Finas, tak pernah lagi ada orang industri yang datang berjumpa saya dan ucapkan terima kasih. Sedangkan apabila waktu nak kritik, laju sahaja mereka. Pesanan saya untuk orang industri, bantu kami untuk bantu anda,” katanya.

Hans ditemui pada majlis pelancaran program Stand Up Comedy Otai yang berlangsung di The Love, Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.

Nama Hans baru-baru ini menjadi bualan hangat apabila pihaknya mengeluarkan beberapa saranan agar penerbit dilarang menggunakan pelakon muda disolek untuk watak tua bagi memberi peluang kepada pelakon veteran.

Mengulas mengenai perkara itu, Hans berkata pihaknya hanya memberikan saranan, namun semua keputusan adalah terpulang kepada pihak stesen penyiar dan penerbit.

“Saya tahu Finas tiada ada hak untuk perkara itu kerana ia adalah urusan di antara stesen penyiar dengan pihak penerbit. Kami hanya beri saranan sebab sebelum ini menerusi pertemuan dengan pelakon-pelakon veteran, kami ada beri cadangan untuk pihak penerbit berikan beberapa peratus slot untuk pelakon-pelakon senior ini dalam drama-drama arahan mereka untuk tempoh setahun. Dalam dua peratus macam itu sahaja saranan kami, itu pun orang nak persoalkan.

“Bila saya beri saranan sebegitu, penerbit ‘serang’ saya, tetapi bila stesen penyiar cakap mereka bersetuju dengan saranan kami, mereka (penerbit) diam sebab mereka ada kontrak dengan stesen penyiar. Kalau Finas, mereka akan bantai.

“Kami cuba untuk berikan saranan dan cadangan untuk mencuba benda-benda berbeza untuk tahun hadapan. Bagi peluang untuk kita cuba benda yang lain sebab setiap tahun selama 27 tahun saya dalam industri, struktur Finas sama sejak dahulu, jadi niat kami hanya untuk cuba benda-benda yang lain,” ujarnya.

Jelasnya, dia berharap orang dalam industri memberi peluang kepada pengurusan Finas untuk mencuba benda-benda baharu yang luar daripada kebiasaan untuk menukar hala tuju industri demi kebaikan bersama. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend