• FOLLOW US
Filem, Review

Blok 404 Filem Thriller Penuh Plot Twist Mengejutkan

Tajuk: Blok 404
Tarikh Tayangan: 28 Jun 2018
Durasi: 1 jam 40 minit
Genre: Thriller, Suspens
Pengarah: Isma Yusoof
Pelakon: Amar Asyraf, Nur Risteena Musnim, Nadia Brian, Raja Azrey, Zamarul Hisham, Adrea Abdullah, Aedy Ashraf, Fasha Sandha, Kamal Adli, Kilafairy, Azrel Ismail, Taufiq Hanafi dan Izreen Azminda.
Klasifikasi: P18

Menjadi fenomena 17 tahun lalu menerusi format DVD, kali ini dengan judul yang sama Blok 404 diangkat ke layar perak.

Penerbitnya, Datuk Dr Boy Iman berkata filem ini diterbitkan tidak menggunakan acuan jalan cerita sama seperti versi DVD.

Sebaliknya, dia mengekalkan beberapa pelakon asal seperti Raja Azrey, Zamarul Hisham dan dirinya sendiri.

Mengetengahkan barisan pelakon yang cukup familiar di kalangan pasaran peminat Melayu, Boy dan pengarahnya, Isma Yusoff mempertaruhkan Amar Asyraf, Nadia Brian, Nur Risteena Musnim dan Aedy Ashraf bagi menarik golongan remaja ke pawagam.

Dari segi jalan cerita, filem ini boleh dibanggakan memandangkan Isma ingin menyentuh mengenai paparan kehidupan realiti masyarakat masa kini.

Seperti contoh, terdapat satu babak yang mana ia menyentuh mengenai sikap rakyat Malaysia yang suka membuang sampah merata-rata biarpun tong sampah ada sahaja di sekeliling kita.

Walaupun dilihat seakan tidak memberi impak tapi jika diamati, ia sebenarya satu mesej yang cukup kuat dan memberi sindiran seperti kata bidalan ‘siapa yang makan cili, dia yang terasa pedas.’

Berbalik kepada jalan cerita filem, filem ini menampilkan beberapa adegan ngeri yang sinonim dengan filem-filem bergenre ‘gore’ dari luar negara.

Kekuatan filem ini terletak pada ‘plot twist-nya’ yang mana penonton pasti tidak menyangkakannya sehingga ke penghujung cerita.

Bermain dengan peralatan tajam dan tumpul, sesekali adegan ngeri dalam filem ini mengingatkan penulis kepada kekejaman siri francais filem Saw yang diterbitkan di Hollywood. Ia satu rempah yang cukup segar untuk filem tempatan mencuba sesuatu yang baharu dalam lanskap perfileman tanah air.

Penghayatan watak pelakonnya juga cukup menjadi lebih-lebih lagi pujian harus diberikan di atas persembahan cemerlang Risteena, Raja Azrey dan Zamarul. Ketiga-tiga pelakon ini memberikan mutu lakonan yang cukup membanggakan.

Secara keseluruhannya, filem ini menampilkan sinematografi yang menarik selain suntikan elemen ngeri dan seram yang diadun dengan cukup baik.

Sinopsis Blok 404:

Tiga orang sahabat dalam pengembaraan terindah bagi melepaskan tekanan. Mereka adalah Zul, Intan dan Hairi, yang masing-masing mahu lari daripada masalah yang melanda. Intan dan Hairi juga pasangan terkenal di media sosial yang berdepan dengan masalah hubungan cinta yang kian rapuh juga , hubungan mereka semakin.

Lalu kembara mereka ke sebuah lokasi pelancongan di selatan tanah air diharap dapat memperbaiki hubungan mereka termasuk di laman sosial.

Dibawa juga bantuan rakan baik yang juga dianggap sebagai seorang ‘pengaman’ hubungan terbabit. Namun perjalanan mereka terhenti saat kereta yang dipandu tiba-tiba berhenti dan rosak di tengah jalan. Kini mereka tidak mempunyai pilihan lain daripada turun berjalan untuk dapatkan bantuan.

Nasib baik Zul sempat ternampak sebuah rumah di bawah bukit yang dinamakan Guesthouse 404 dan berasakan mungkin boleh dapatkan bantuan di situ.

Misha pula seorang pekerja yang baru memulakan tugasnya di Guesthouse 404, dan setiap gerak langkahnya dibantu oleh pengurus guesthouse terbabit, yang senang dipanggil Wan. Walaupun agak lambat menyelesaikan tugasnya namun dia sentiasa cuba untuk lakukan yang terbaik. Termasuk berdepan dengan pelanggan yang sangat menyakitkan hati seperti Gina

Gina adalah seorang pelajar yang datang ke Guesthouse untuk dapatkan ketenangan, namun agak kecewa apabila tiada lelaki yang boleh ‘menjamu’ matanya di rumah tamu terbabit. Yang ada hanyalah Duan, seorang pemuda misteri yang pendiam dan banyak memerhatikan keadaan saja. Duan ke situ kerana mendapat jemputan untuk memberi ‘review’ mengenai lokasi terbabit, namun dirinya yang sangat mudah merasakan sesuatu yang kena menyebabkan sentiasa tak senang duduk.

Wan sudah beberapa tahun menjaga Guesthouse 404, bersama pekerja terbaiknya iaitu Husin yang dianggap sebagai senior. Wan sudah boleh merasai kehadiran Misha tidak disukai oleh Husin namun dia perlukan pekerja wanita untuk membantu urusan kerjanya di situ.

Lokasi rumah tamu yang terpencil dan di tepi sungai ditambah pula dengan ketenangan dekorasi di situ menjanjikan ketenangan pada sesiapa yang ada di situ. Zul, Intan dan Hairi yang melangkah ke rumah tamu itu pun jadi terpana. Rumah tamu itu turut mengamalkan konsep ‘disconnect to connect’ yang membawa maksud tiada kemudahan internet dan line telefon.

Yang ada hanyalah alam untuk diterokai. Di saat itulah Zul terserempak dengan Gina yang sangat perlukan perhatian lelaki, dan terus mula saling menggoda.

Majlis BBQ istimewa mula menanti semua yang ada di rumah tamu itu. Masing-masing bergembira saat itu. Misha bertambah takut apabila Duan memberitahu rumah tamu ini ada sisi gelapnya.

Bagi pasangan sensasi media sosial, Hairi dan Intan, malam itu mereka mahu mulakan sesuatu yang baru. Bagaimanapun dijadikan cerita Intan ternampak mesej Hairi curang dengan gadis lain dan dia rasakan itulah peluang terakhirnya untuk tidak lagi bersamanya.

Pelbagai cerita aneh mula terjadi ketika itu. Apakah yang terjadi sebenarnya? Apakah signifikan filem ini… Hidup Sampai Mati….

Jangan lupa saksikan Filem Blok 404 yang sudah ditayangkan di 59 pawagam di seluruh negara bermula semalam. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend