• FOLLOW US

Town Mall Bikin Meremang, Penuh Dengan Elemen Suspens

Tajuk: Town Mall
Tarikh Tayangan: 25 Jun 2020 (ASTRO FIRST)
Durasi: 1 jam 26 minit
Genre: Seram / Misteri
Pengarah: Datuk Eizlan Yusof
Pelakon: Datuk Eizlan Yusof, Reen Rahim, Intan Ladyana, Nynaa Harizal, Datuk Jalaluddin Hassan, Adam Shahz, Farahdhiya, Ku Faridah, Noralbaniah
Klasifikasi: P13

Bila kali terakhir anda menonton filem seram? Filem Town Mall ini boleh dimasukkan dalam senarai filem wajib tonton buat anda sekeluarga.

Mengangkat kisah daripada novel seram karya Hasrudi Jamawi, Town mengisahkan mengenai pembinaan semula sebuah bangunan yang sudah lama terbiar.

Selepas 10 tahun, empat syarikat pembinaan berlainan dipilih bagi memajukan semula projek terbengkalai sejak 10 tahun lalu.

Rosdi (Datuk Eizlan Yusof) merupakan salah seorang pengurus projek tersebut dan sering kali diganggu kejadian misteri yang seperti mahu menganggu pihak pemaju daripada meneruskan pembinaan bangunan terbiar itu untuk dijadikan sebuah pusat beli-belah terbaharu.

Pelbagai kejadian tidak diingini berlaku sama seperti 10 tahun lalu seperti pekerja diganggu makhluk halus serta kematian pengawal keselamatan menjadi titik tolak dan klimaks kepada naskhah ini.

Walaupun rencah filem ini sama seperti kebanyakan filem lain yang pastinya lebih menumpulkan pada babak-babak waktu malam, namun ia turut mempunyai jalan cerita dan keunikannya yang tersendiri.

Bagi penulis, elemen suspensnya sering hadir pada saat-saat yang kita tidak jangka, sekali gus ia menghidupkan lagi adrenalin tontonan seram buat penonton.

Walaupun ini merupakan filem pertama arahan Eizlan, namun sebagai pengarah, Eizlan telah berjaya membawa mood filem seramnya ke satu tahap yang boleh dibanggakan.

Lakonan pelakon-pelakon lain seperti Reen Rahim, Intan Ladyana, Datuk Jalaluddin Hassan dan Ku Faridah cukup memberi emosi mengikut watak masing-masing.

Di sebalik elemen seram yang cuba diketengahkan, filem ini juga tidak lupa untuk menerapkan nilai pengajaran yang cukup berguna agar tidak melakukan perkara syirik semata-mata ingin mencapai kejayaan dalam masa yang singkat.

Town Mall yang diterbitkan oleh Enuja Productions Sdn Bhd merupakan satu-satunya novel seram yang diadaptasi ke filem setaka ini dan pastinya ia menjadi tarikan utama buat peminat novel bergenre itu.

Filem ini sudah boleh dilanggan di Astro First saluran 480 bermula hari ini. Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem terbabit selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. – KopiPlanet.com

Gabung Komedi & Seram, Jodoh Syaitan Berjaya Geletek Hati Penonton

Tajuk: Jodoh Syaitan
Tarikh Tayangan: 5 Mac 2020
Durasi: 1 jam 23 minit
Genre: Komedi / Seram
Pengarah: Ismail Bob Hasim
Pelakon: Sofi Jikan, Aprena Manrose, Allahyarham Abam Bocey, Jay Iswazir, Fauziah Nawi dan Kamarool Hj. Yusoff
Klasifikasi: P13

Apabila komedi dan seram bergabung, maka terhasillah Jodoh Syaitan yang dilihat mampu menggeletek hati penonton di samping efek kesan khas ‘hantu’ yang meremangkan bulu roma setiap yang menonton karya arahan Ismail Bob Hasim ini.

Jodoh Syaitan merupakan hasil idea daripada penerbitnya sendiri iaitu Allahyarham Datuk Mokharul Shamsul Mokhtar mengangkat cerita tentang seorang wanita cantik yang mengahwini pemuda kampung bernama Megat.

Wanita cantik bernama Mawar itu sebenarnya merupakan pontianak yang telah dihidupkan kembali namun Megat tidak mengetahui langsung mengenai asal-usul isterinya itu.

Kekuatan filem terbitan Da Motion Media Sdn. Bhd. ini terletak pada dialog-dialognya yang cukup kelakar dan mencuit hati lebih-lebih lagi datang daripada watak yang dijayakan Sofi Jikan, Allahyarham Abam Bocey dan Jay Iswazir.

Namun begitu, tidak dijangkakan ialah apabila penonton dapat melihat dengan lebih mendalam lagi sisi komedi dalam diri pelakon veteran, Fauziah Nawi yang sebelum ini lebih banyak dikenali dengan watak air mata.

Watak Fauziah sebagai ibu Megat juga mengundang tawa penonton yang terhibur dengan aksi dan lakonan bersahajanya disertakan dengan mimik muka bersesuaian dengan situasi babak tersebut.

Kredit dan pujian juga harus diberikan kepada penulis skrip Jodoh Syaitan, Epy Kodiang yang menghasilkan dialog-dialog yang segar dan melucukan.

Walaupun boleh dikatakan masih baharu lagi dalam industri lakonan, namun diakui Aprena Manrose tidak hanya bersandarkan pada kecantikan paras rupa semata-mata apabila dia dapat memberikan pelbagai emosi yang dituntut oleh wataknya sebagai Mawar.

Jodoh Syaitan juga merupakan filem terakhir lakonan arwah Abam Bocey atau nama sebenar, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan yang meninggal dunia pada 10 Februari lalu.

Filem ini pastinya meninggalkan memori yang cukup manis buat peminat setia Abam yang akan merindui aksi dan keletah lucunya sejak Allahyarham menyertai bidang seni tujuh tahun lalu.

Secara keseluruhannya, Jodoh Syaitan berjaya menggabungkan elemen seram dan komedi dengan baik malah tidak keterlaluan mengatakan solekan dan babak melibatkan pontianak kelihatan ‘real’ sehingga membuatkan penonton tidak boleh tidur malam!

Jodoh Syaitan akan menjengah 92 pawagam seluruh tanah air bermula hari ini (5 Mac 2020). – KopiPlanet.com

Sinopsis Jodoh Syaitan:

Akibat sering gagal dalam hubungan percintaan, Megat membuat keputusan untuk pulang ke kampung halamannya. Di sana, ibunya ingin mengahwinkannya dengan seorang gadis bernama Mawar.

Pada masa yang sama, dua rakannya iaitu Awang dan Kulup sedang mencari mayat untuk dipaku. Mereka telah diarahkan oleh Tok Chai, dengan harapan mayat itu akan hidup semula untuk dijadikan isterinya.

Konflik berlaku apabila Awang dan Kulup tidak berani untuk memberitahu kepada Megat kebenaran bahawa isterinya merupakan pontianak yang telah menjelma sebagai manusia.

Apakah pengakhirannya, adakah Megat akhirnya tersedar yang dikahwininya adalah sebenarnya jodoh syaitan? Sama-sama saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda bermula hari ini (5 Mac 2020). – KopiPlanet.com

Ratu Kala Jengking Papar Kisah Sebenar Wanita Kahwin 99 Lelaki

Tajuk: Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda
Tarikh Tayangan: 27 Februari 2020
Durasi: 2 jam
Genre: Seram / Romantik
Pengarah: Bade Hj. Azmi
Pelakon: Nadia Brian, Amar Asyraf, Datuk Fizz Fairuz, Firman Siagian, Eyra Hazali, Fauziah Nawi, Raja Azmi dan Dayang Areeda.
Klasifikasi: P13

Jarang-jarang sekali penerbit tempatan berani menerbitkan filem yang memaparkan cerita rakyat. Namun hal ini berlainan buat pemilik rumah produksi, A. Aida Production, Datuk A. Aida yang menerbitkan filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.

Menurut A. Aida, dia memang mahukan filem bergenre cerita rakyat daripada karya anak tempatan memenuhi pawagam seluruh tanah air.

Memetik kenyataannya pada malam gala yang diadakan di Damansara baru-baru ini, A. Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang berkata, “Jika Hollywood boleh berbangga dengan filem Cinderella, Robin Hood dan Sleeping Beauty, kenapa kita tidak mengangkat cerita-cerita rakyat kita supaya dikenali dunia?”.

Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda yang mengangkat kisah benar yang terjadi di Kota Tinggi, Johor mengisahkan tentang seorang wanita, Cik Siti yang pernah berkahwin seramai 99 suami yang kesemuanya mati sehari selepas mereka diijabkabulkan.

Nadia Brian yang memegang watak utama sebagai Cik Siti memberikan lakonan yang penuh menyakinkan malah dia sendiri berjaya mencabar diri apabila badannya diletakkan sebanyak 18 ekor kala jengking bagi menampakkan lakonan yang cukup real.

Pelakon berusia 29 tahun itu dilihat bijak bermain dengan pelbagai emosi seperti sedih, gembira dan kesakitan sebagai Cik Siti. Wajahnya berubah menjadi hodoh selepas dia melanggar pantang dan disebabkan itu dia berjumpa dengan nenek kebayan yang akhirnya berjaya merubah kembali rupa parasnya menjadi cantik seperti sedia kala.

Namun, perbuatannya yang derhaka dengan ibunya telah menyebabkan suaminya mati secara tiba-tiba sehari selepas perkahwinannya.

Tidak serik dengan kematian suami pertama, kedua dan ketiga, Cik Siti dikatakan mengahwini sehingga 99 lelaki sepanjang hidupnya sehingga membuatkan penduduk kampung merasa curiga dengan kemungkinan ajaran sesat yang dipelajari wanita tersebut.

Walaupun kisah ini sudah berlaku sejak 200 tahun lalu namun penerbit dan pengarah, Bade Hj. Azmi bertindak menggunakan latar masa 1950-an bagi mencantikkan perjalanan filem ini. Pihak penerbitan menjalani penggambaran sepenuhnya di Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi bagi mengikut originaliti asal-usul kisah tersebut.

Walaupun menggambarkan suasana zaman dahulu kala, namun beberapa lagu terkini daripada penyanyi seperti Syamel, Ernie Zakri, Firman dan Khai Bahar dilihat melatari filem ini. Menurut A. Aida tujuan lagu itu diselitkan adalah ia bersesuaian dengan mood pada satu-satu babak itu selain ingin mengikut citarasa anak muda dengan penggunaan lagu penyanyi masa kini.

Teknik CGI filem ini juga wajar dipuji kerana ia kelihatan cukup kemas lebih-lebih lagi pada masa adegan kala jengking keluar daripada mulut Cik Siti. CGI merupakan garapan daripada Datuk Norman Abdul Halim manakala skor muzik filem ini pula datang daripada Yusry Abdul Halim.

Secara keseluruhan, filem ini adalah sebuah filem yang mampu memberikan hiburan maksima buat penonton seisi keluarga. Jangan lupa saksikan Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai hari ini (27 Februari).

Filem ini menampilkan lakonan hebat Nadia Brian, Datuk Fizz Fairuz, Amar Asyraff, Eyra Hazali, Dayang Areeda, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Raja Azmi, Fauziah Nawi dan penyanyi Indonesia, Firman Siagian. – KopiPlanet.com

Sinopsis Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda

Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda mengisahkan tentang Cik Siti yang mempunyai dua orang sahabat baik iaitu Mawar dan Teratai. Siti bercinta dengan Awang, namun dalam diam rupa-rupanya Mawar juga mencintai Awang. Teratai yang mengetahui pekara tersebut menasihati Mawar agar tidak mengkhianati sahabat baik sendiri.

Kemudian, wajah Cik Siti tiba-tiba diserang penyakit misteri apabila ditumbuhi jerawat batu. Keadaan mukanya sangat teruk sehingga orang kampung memanggilnya hantu dan diasering dihina dan dikeji, malah akhirnya Awang juga meninggalkannya. Cik Siti kecewa lalu berkawan dengan Nadim, pemotong kayu yang menjadi tempatnya mengadu. Mawar telah menghasut Cik Siti supaya pergi ke Gunung Panti untuk berubat dengan Nenek Kebayan, dengan harapan Awang akan menjadi miliknya.

Cik Siti nekad untuk pergi berubat dengan Nenek Kebayan, meskipun ibunya melarang. Semasa ketiadaan Cik Siti, Nadim yang menjaga ibunya siang dan malam. Terharu dengan kebaikkan Nadim, ibu Cik Siti telah berjanji yang dia akan mengahwinkan Nadim dengan Cik Siti.

Sementara itu, Cik Siti meredah hutan belantara tiga hari tiga malam, sehingga dia berjumpa dengan Nenek Kebayan yang bersetuju mengubati penyakitnya, tetapi dengan syarat Cik Siti tidak boleh menderhaka dan mengecilkan hati ibunya. Sekiranya melanggar pantang, Siti akan menerima akibatnya.

Cik Siti bersetuju dan terus berubat. Dia juga menuntut ilmu kebatinan. Setelah menuntut selama 99 hari, terdapat perubahan pada wajahnya. Mukanya licin dan cantik berseri-seri seperti bulan purnama. Untuk mengetahui kisah selanjutnya, jangan lupa saksikan filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini (27 Februari). – KopiPlanet.com

M4M4 Runtun Emosi, Aksi Antagonis Bikin Penonton Geram

Tajuk: M4M4
Tarikh Tayangan: 6 Februari 2020
Durasi: 1 jam 46 minit
Genre: Seram / Thriller
Pengarah: Eyra Rahman
Pelakon: Nabila Huda, Bella Dowanna, Faizal Hussein, Kodi Rasheed, Niezam Zaidi, Ungku Hariz, Eyra Hazali dan Izzy Reef.
Klasifikasi: P13

Bila kali terakhir anda menonton filem yang benar-benar membuatkan emosi terganggu sehingga mengalirkan air mata? Filem terbaharu arahan Eyra Rahman ini pastinya mampu meruntun perasaan anda kerana ia mengangkat permasalahan yang cukup dekat dengan kaum wanita.

M4M4 atau maksudnya ‘mati empat, mati empat’ mengisahkan mengenai seorang ibu yang kehilangan anak tunggalnya dalam kematian yang cukup tragis selepas dirogol tiga orang samseng.

Mengangkat isu rogol serta ketabahan seorang ibu tunggal membesarkan anak perempuannya yang semakin meningkat remaja, pengarah cukup bijak menggadunkan jalan cerita secara berperingkat sebelum membawa emosi penonton dengan perasaan sedih, geram dan marah dalam satu naskhah yang sama.

Lakonan Nabila Huda tidak perlu dipersoalkan lagi apabila pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM 28) itu tampil dengan lakonan cemerlang sejajar dengan resumenya sepanjang penglibatannya dalam bidang seni.

Gaya lakonan Nabila sebagai seorang ibu tunggal cukup menyakinkan malah keserasiannya dengan pelakon baharu, Bella Dowanna juga tidak nampak kekok dan janggal. Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan wajah kedua-duanya kelihatan agak seiras untuk melakonkan watak ibu dan anak.

Pengarah juga cukup bijak memaparkan watak antagonis yang dilakonkan trio gangster iaitu Kodi Rasheed, Niezam Zaidi dan Ungku Hariz. Watak mereka bukan sekadar tempelan apabila dilihat cukup seimbang sekali gus mengukuhkan jalan cerita yang ingin dipaparkan.

Kodi dan Niezam cukup memberikan jiwa terhadap watak mereka sehinggakan mampu membuatkan penonton ‘meluat’ dengan karakter yang dibawakan oleh kedua-duanya. Lakonan jahat mereka dilihat hidup apabila diselangi dengan dialog-dialog jahat dan nakal yang sinonim dengan individu yang berada di bawah pengaruh bahan terlarang.

Di pengakhiran cerita, penonton akan dihidangkan dengan plot twist tidak disangka-sangka yang membawa kepada bagaimana insiden rogol itu boleh berlaku selain ‘keazaman’ semangat seorang ibu yang ingin menuntut bela di atas kematian anaknya.

Kesemua babak dalam filem terbitan Da Motion Media ini melalui 100 peratus kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) tanpa sebarang pemotongan adegan dilakukan.

Bakal ditayangkan bermula hari ini di 111 pawagam seluruh tanah air termasuk Brunei dan Singapura, M4M4 pastinya membuatkan emosi anda becampur baur antara perasaan sedih, geram dan marah sebaik melangkah keluar dari panggung wayang. – KopiPlanet.com

SINOPSIS M4M4:

Kisah bermula pada hari lahir ke-15 Alya (Bella Dowanna) yang disambut setiap tahun bersama mamanya, Aini (Nabila Huda). Setelah kematian suami ketika Alya berusia lapan tahun, Aini berusaha keras setiap hari untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk anaknya.

Alya mempunyai dua kawan baik iaitu Daniel (Izzy Reef) dan Elly (Eyra Hazali). Mereka bertiga tinggal di kawasan yang sama dan membesar bersama-sama. Pada suatu hari, Alya, mereka diganggu oleh tiga orang lelaki iaitu Apai (Kodi Rasheed), Luk (Ungku Hariz) dan Remy (Niezam Zaidi) yang terkenal dengan gaya dan lagak samseng mereka di kawasan tersebut.

Mereka sering menganggu pelajar-pelajar sekolah yang makan di kawasan tersebut, termasuk Alya. Namun, pada hari tersebut kesabaran Alya memuncak apabila Apai dengan beraninya menyentuh Alya. Berlaku pergaduhan di antara Apai, Alya dan Danny sehingga menyebabkan Alya dengan beraninya menyimbah sup panas kepada Apai.

Sewaktu Alya dan Elly sedang menunggu bas, sesuatu menimpa Elly dan dia terpaksa beredar dari situ buat seketika. Semasa Alya menunggu Elly, Apai dan kawan-kawannya muncul bersama motor dan membuat onar di situ. Alya dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Apai dan kawan-kawannya menarik Alya untuk pergi dari situ. Alya dibawa ke sebuah bangunan tinggal dan diperkosa dengan kejamnya. Alya pulang ke rumah dalam keadaan sakit dan cedera. Aini cuba menyembunyikan emosinya sebagai ibu demi membantu Alya yang masih trauma.

Namun, tekanan yang diterima dalam kalangan masyarakat menyebabkan jiwanya sebagai ibu turut terkesan. Melihatkan keadaan Aini, Alya cuba bangkit dan cuba untuk melupakan apa yang sudah terjadi. Dia mahu memulakan segalanya bersama Aini. Bagaimana Aini sebagai seorang MAMA menangani kemelut emosinya? Adakah Aini sanggup memaafkan ApaiI, Luk dan Remy? Segalanya bakal terjawab di dalam filem M4M4 yang bakal ditayangkan di pawagam pada 6 Februari 2020. – KopiPlanet.com

1917 Filem Perang Berbaloi Ditonton, Sinematografi Cantik & Kemas!

Tajuk: 1917
Tarikh Tayangan: 16 Januari 2020
Durasi: 1 jam 59 minit
Genre: Drama / Perang
Pengarah: Sam Mendes
Pelakon: George Mackay, Dean-Charles Chapman, Mark Strong, Colin Firth, Benedict Cumberbatch, Richard Madden, Andrew Scott dan Claire Duburcq.
Klasifikasi: 18

Berjaya menggondol trofi Filem Terbaik Anugerah Golden Globes 2020 yang diadakan minggu lalu, filem 1917 turut tercalon untuk 10 pencalonan Anugerah Oscar yang akan berlangsung pada 9 Februari ini.

Sudah ditayangkan di Amerika Syarikat sejak 4 Disember lalu, filem arahan Sam Mendes ini akan memulakan tayangan di Malaysia pada 16 Januari ini.

Mengangkat tema jalan cerita berkisarkan peperangan di antara askar British dan Jerman, filem ini mengisahkan tentang perjalanan dua askar British yang perlu merentasi kubu pertahanan musuh untuk menyampaikan pesanan daripada pegawai tinggi agar menghentikan serangan terhadap musuh.

Yang menariknya, filem ini cukup ‘straight forward’ dan tidak memerlukan anda untuk berfikir secara mendalam bagi menghadam plot penceritaannya.

Walaupun jalan ceritanya cukup ringkas namun ia cukup perasa apabila mampu membuatkan emosi penonton cukup tersentuh ketika babak Blake mati di tangan musuh dan Schofield kelihatan cukup terganggu dan terkesan dengan kehilangan rakannya itu.

Selain itu, yang menjadi ‘selling point’ terbesar 1917 ialah aspek sinematografinya yang sangat cantik. Sepanjang cerita, penonton disajikan dengan teknik kamera ‘one shot’ yang mengikuti perjalanan Schofield dalam berhadapan dengan rintangan dan cabaran sebelum menyelesaikan misinya.

Teknik kamera yang dibawakan cukup cantik lebih-lebih lagi ia kelihatan cukup sempurna dan ‘smooth’ dengan penukaran posisi sudut pada setiap-setiap babak.

Set penggambaran ini juga kelihatan cukup hidup dan setiap perincian latar itu benar-benar menggambarkan situasi peperangan termasuk kubu pertahanan yang melatari sebahagian besar sinematografi perjalanan cerita ini.

Secara keseluruhannya, filem ini berbaloi untuk ditonton lebih-lebih lagi buat penggemar filem perang kerana adrenalin yang diberikan oleh pengarahnya cukup memuaskan hati selain ‘color grading’ filem ini yang redup sekali gus menetapi garis masa filem ini yang berkisar pada tahun 1917. – KopiPlanet.com

Elemen Komedi & Seram Busut Bonang Menjadi, Ketawa ‘All The Way’

Tajuk: Busut Bonang
Tarikh Tayangan: 19 Disember 2019
Durasi: 1 jam 31 minit
Genre: Komedi / Seram
Pengarah: Khalid Nadzri
Pelakon: Nadzmi Adhwa, Along Eyzendy, Jasper Supayyah, Rashidah Jaafar, Sahronizam Noor, Hairi Safwan, Aloy Paradoks, Abby Nadzri, Ropie.
Klasifikasi: P13

Rasanya sudah lama industri filem tempatan tidak dihidangkan dengan filem bergenre komedi seram dan susulan itu, pengarah Khalid Nadzri berani mempertaruhkan karya terbaharunya, Busut Bonang bagi memberikan hiburan penuh maksima buat penonton.

Tidak keterlaluan penulis katakan, Busut Bonang merupakan antara filem tempatan terbaik pernah dikeluarkan pada tahun ini. Garapan, skrip, lakon layar serta persembahan barisan pelakonnya semua cukup serba-serbi malah penulis yakin filem ini mampu menghiburkan penonton daripada pelbagai lapisan umur.

Mengangkat kisah mengenai saka yang sering kali dikaitkan sebagai penjaga keturunan daripada nenek moyang, di kala memberi hiburan ia turut menyelitkan pengajaran agar tidak menyimpang daripada ajaran agama.

Jika sekali pandang, ‘look’ filem ini pastinya anda akan berkata ia seakan filem popular arahan Mamat Khalid, Hantu Kak Limah sementelah Ropie turut muncul dalam filem Busut Bonang. Menurut Khalid, dia memang sengaja mahu mewujudkan satu lokasi ‘signature’ dalam filem Busut Bonang iaitu Kedai Runcit Lokman seperti mana Warung Pak Jabit yang cukup dikenali menerusi naskhah Hantu Kak Limah.

Walaupun kelihatan Hantu Kak Limah, namun Busut Bonang sendiri mempunyai kekuatannya tersendiri terutama daripada segi dialog yang dituturkan setiap pelakonnya. Walaupun filem ini menampilkan Nadzmi Adhwa dan Along Eyzendy sebagai teraju utama namun anda akan dapat rasakan setiap karakter dalam filem ini memainkan peranan mereka dan masing-masing saling menonjol tanpa perlu terlalu mencuba dengan dialog yang cukup bersahaja dan kelakar.

Sinematografi filem ini juga wajar dipuji kerana berjaya menimbulkan suasana seram yang kena dengan babak yang dibawakan kerana tidak terlalu gelap sehingga menganggu fokus penonton, sepertimana yang sering terjadi pada filem-filem seram tempatan sebelum ini.

Setelah dua kali berlakon dalam naskhah seram, lakonan Nadzmi semakin memperlihatkan peningkatan malah dia juga tidak canggung apabila berada di samping pelakon-pelakon lain yang kebanyakannya bijak ‘ad lib’ dialog yang diberikan kepada mereka.

Lakonan Along, Hairi, Sahronizam dan Aloy tidak perlu dipertikaikan lagi, walaupun nama mereka tidak begitu meniti di bibir-bibir peminat tempatan namun persembahan yang diberikan mereka cukup cemerlang! Kemunculan istimewa Ropie dalam filem ini juga tidak mengecewakan malah menguatkan lagi jalan cerita dengan aksi bersahaja pelawak berpengalaman ini.

Walaupun ini merupakan filem pertama lakonan Jasper, bintang yang dicungkil menerusi sebuah pertandingan realiti nyanyian sebelum ini, namun jika terus diberikan peluang untuk digilap bakatnya, tidak mustahil Jasper boleh pergi jauh dalam bidang seni lakon.

Secara keseluruhannya, filem terbitan Alfanazra Productions Sdn. Bhd ini sangat menghiburkan dengan jalan cerita yang cukup difahami. Konsep ringkas kehidupan masyarakat di kampung berjaya digarap dengan cukup baik oleh Khalid sehinggakan membuatkan kita ternanti-nanti akan adakah lagi Busut Bonang 2 selepas ini.

Komedi yang ringkas serta tidak splastik merupakan antara rencah utama Busut Bonang di samping elemen seram yang tidak dilupakan. Elemen itu cukup jelas kelihatan pada watak hantu yang kelihatan realistik dan tidak ‘mencacatkan’ rupa keseluruhan filem ini.

Sinopis Busut Bonang:

Kematian mengerikan Cikgu Hassan menyebabkan timbul cerita oleh orang kampung bahawa kelibat arwah dilihat berkeliaran di Kampung Bonang untuk mencari pewaris baru. Pada masa yang sama, anaknya Julia turut mengalami gangguan makhlus halus. Pemilik rancangan televisyen “Merungkai Misteri” iaitu Joey dipanggil untuk menyiasat kebenaran di sebalik kejadian itu. Dia turut memperdaya Lutfy, penjual jeruk yang ingin mencari pekerjaan baru, untuk mengikutnya dan Julia. Malangnya, perjalanan mereka bertiga ke Busut telah diganggu oleh Penunggu Busut, menyebabkan mereka sesat.

Misteri ‘Motif’ Berjaya Buat Penonton Resah Hingga Ke Penamat Cerita

Tajuk: Motif
Tarikh Tayangan: 26 September 2019
Durasi: 1 jam 25 minit
Genre: Jenayah / Drama
Pengarah: Nadiah Hamzah
Pelakon: Sharifah Amani, Datuk Rosyam Nor, Iedil Dzuhrie Alaudin, Taqim Zaki, Emma Tosh, Azhan Rani, Sherie Merlis.
Klasifikasi: P13

Nampaknya percubaan pengarah Nadiah Hamzah membawakan kelainan dengan mengetengahkan filem bercorak misteri penyiasatan yang sinonim dengan negara Scandinavian berjaya menerusi sentuhan filem pertama arahannya, Motif.

Walaupun mengangkat tema misteri pembunuhan, jika diselami sebenarnya Nadiah cuba untuk menyampaikan mesej mengenai isu poligami yang sering menjadi antara isu dan perdebatan besar di kalangan masyarakat kita.

Permulaan cerita dihidangkan dengan ceramah mengenai poligami yang di dengar di corong radio oleh watak utamanya, Dewi (Sharifah Amani) yang merupakan isteri kedua serta mengalami permasalah rumah tangga dengan suaminya.

Walaupun diselitkan isu poligami, motif utama filem ini lebih berkisar kepada misteri kehilangan seorang gadis remaja, Anna, anak kepada Hussein (Datuk Rosyam Nor) yang akhirnya ditemui mati dibunuh dalam saluran pembetungan sebuah rumah yang masih dalam pembinaan.

Pengarah berjaya membuatkan penonton ternanti-nanti hingga ke penghujung bagi mencari pembunuh sebenar, malah penulis percaya penonton tidak akan dapat berjaya meneka dengan tepat siapakah penonton di pertengahan cerita kerana kesemua watak yang ditampilkan dilihat seakan-akan mempunyai motif untuk membunuh remaja tersebut.

Sinematografi dan skor bunyi filem ini wajar diberi pujian kerana ia sangat bersesuaian dengan filem bergenre jenayah yang sering kali bermain dengan suasana gelap dan suram bagi menambahkan lagi mood tontonan anda.

Watak inspektor polis yang dimainkan Sharifah Amani dan Taqim Zaki juga turut menyerlah menerusi gaya pemakaian mereka yang ringkas serta ketegasan dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan sekali gus menambahkan keyakinan penonton dengan karakter yang dijayakan mereka.

Untuk melarikan sedikit keseriusan dan ketegangan plot dalam filem ini, Nadiah bijak membawakan watak tok kadi dari Songkhla, Thailand bagi memberikan elemen humor menerusi dialog yang diungkapkan oleh karakter tersebut sehingga memecah gelak ketawa satu panggung.

Secara keseluruhannya, Motif merupakan percubaan berani Nadiah yang dilihat dapat membawa impak positif menerusi tema penceritaan berbeza daripada keluaran filem-filem tempatan lain sebelum ini. Ia pastinya memberikan kepuasan maksima buat penonton yang menggemari filem bercorak misteri penyiasatan. Jadi, jangan lupa ‘set date’ anda untuk menonton Motif yang akan mula ditayangkan di pawagam berhampiran anda pada 26 September ini.

Sinopsis:

Motif mengisahkan seorang detektif dari bandar iaitu Inspektor Dewi yang telah ditugaskan untuk menyiasat satu kes kehilangan seorang remaja perempuan bernama Anna di sebuah pekan terpencil di Tanah Merah. Namun, dirinya tidak disukai oleh penduduk pekan itu termasuk Inspektor Rizal, detektif yang ditugaskan bersamanya. Bapa kepada Anna iaitu Hussein pula tidak percaya bahawa Inspektor Dewi mampu menjalankan tugas dan mencari anaknya. Dalam cuba merungkai dalang di sebalik kehilangan Anna, Inspektor Dewi turut dihantui konflik yang melanda dirinya. Apa sebenarnya rahsia di sebalik semua ini? Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 26 September 2019 ini untuk mengetahui jawapannya. – KopiPlanet.com

Kron Naskhah Moden Segar Warnai Industri Filem Tempatan

Tajuk: Kron
Tarikh Tayangan: 22 Ogos 2019
Durasi: 1 jam 30 minit
Genre: Drama
Pengarah: Opie Zami
Pelakon: Zahiril Adzim, Dayana Roza, Aman Graseka, Mamak Puteh, Ellie Suriaty, Opie Zami, Ruminah Sidek
Klasifikasi: P13

Jarang-jarang sekali filem tempatan mengetengahkan konsep ‘time travel’ dan di atas sebab itu, pengarah filem Kron, Opie Zami cuba mencabar diri dengan menerbitkan naskhah bergenre sebegitu bagi memberi satu nafas baharu dalam industri filem tanah air.

Filem lokal berunsur fiksyen sebegini tidak seharusnya kita meletakkan ekspektasi yang tinggi namun Opie berjaya melakukan yang terbaik untuk menjadikan naskhahnya suatu karya yang segar.

Lokasi dan sinematografi dalam filem ini kelihatan sangat berseni namun sedikit suasana kelam mungkin ingin diselarikan dengan vibrasi gelap mengikut jalan cerita yang diterbitkan syarikat produksi Opyglobal Pictures.

Daripada segi jalan ceritanya, ia kelihatan sedikit kompleks namun masih boleh mudah difahami. Lakonan para pelakon pula tidak perlu dipertikaikan lagi kerana masing-masing berjaya menyampaikan karakter masing-masing dengan baik dan berkesan.

Tataan seni juga harus diberi pujian kerana set penggambarannya membuatkan kita seakan-akan masuk ke alam yang cuba disampaikan itu. Secara keseluruhannya, Kron mampu membuka mata rakyat Malaysia bahawa filem lokal bergenre sebegini juga boleh berdaya saing dengan filem antarabangsa mahupun filem negara jiran.

Kron yang merupakan sebuah filem fiksyen turut menerapkan beberapa fakta sebenar tentang kerajaan negeri Kedah dahulu kala. Ia mengisahkan tentang seorang pengkaji serajah di sebuah muzium di Kedah bernama Profesor Daud di mana pihak atasan telah menghalang dirinya dan pembantunya, Sham untuk melakukan ekspedisi menjejaki laluan Raja Siam untuk mencari bunga emas dan perak kerana bimbang akan bahaya.

Namun Profeseor Daud nekad untuk meneruskan misinya selepas seorang ahli perniagaan, Suri bersetuju untuk menanggung kos ekspedisi tersebut. Dia turut mendapat bantuan daripada seorang pengarah televisyen paranormal, Pian yang menawarkan diri untuk merakam aktiviti mereka tanpa sebarang bayaran.

Keadaan yang pada mulanya lancar menjadi buruk apabila perjalanan mereka terganggu, setelah pandangan mereka dikaburkan dan menyebabkan mereka tersalah masuk laluan sehingga menyebabkan kumpulan ekspedisi itu diburu oleh makhluk misteri bernama Kron.

Mula ditayangkan hari ini di 61 pawagam seluruh negara termasuk Brunei, Kron pasti mengujakan anda dan mampu memberikan hiburan sepenuhnya buat anda sekeluarga. – KopiPlanet.com

Fast & Furious: Hobbs & Shaw Menghiburkan, Padat Dengan Aksi Ekstrem

Tajuk: Fast & Furious: Hobbs & Shaw
Tarikh Tayangan: 1 Ogos 2019
Durasi: 2 jam 16 minit
Genre: Aksi
Pengarah: David Leitch
Pelakon: Dwayne Johnson, Jason Statham, Idris Elba, Vanessa Kirby, Helen Mirren
Klasifikasi: P13

Filem yang paling dinanti-nantikan buat peminat filem aksi, Fast & Furious: Hobbs & Shaw telah memulakan tayangannya bermula semalam.

Berpeluang menontonnya baru-baru ini, filem arahan David Leitch ini digarap dengan secukup rasa malah adrenalin turut terasa sepanjang 2 jam 16 minit filem ini ditayangkan.

Keserasian di antara dua pelakon utamanya, Dwayne ‘The Rock’ Johnson (Luke Hobbs) dan Jason Statham (Deckard Shaw) tidak perlu dipertikaikan lagi malah aksi gurauan dan ‘percakaran mulut’ di antara kedua-duanya turut menambah rencah selain menghambur tawa para penonton.

Yang menariknya, filem ini turut mengetengahkan pelakon yang pernah mendapat jolokan Lelaki Paling Seksi Dunia, Idris Elba sebagai watak villian (antagonis), Brixton Lore selain kemunculan ‘bunga’ lakonan Vanessa Kirby yang melakonkan watak perisik Hattie yang juga merupakan adik kepada Shaw.

Plot penceritaan mengisahkan tentang Hattie yang diburu Brixton kerana memiliki virus pemusnah yang dimahukan organisasi gelap Eteon. Ditugaskan untuk menjejaki Hattie, Hobbs & Shaw sekali lagi digabungkan untuk menjadi satu pasukan.

Pelbagai kisah menarik sepanjang pemburuan mereka malah dialog-dialog lucu antara dua ‘bromance’ ini turut mewarnai jalan cerita di mana masing-masing saling ‘cakap besar’ bagi membuktikan kehebatan mereka.

Jika menonton filem ini, anda jangan jangkakan perkara logik kerana hampir kesemua aksi yang dijayakan kelihatan tidak masuk akal tapi dah tujuannya pun untuk hiburan, maka imaginasi pengarah dan penerbit nampaknya dilaksanakan dengan cukup baik dan berkesan.

Menariknya, filem ini turut memaparkan Hobbs kembali ke kampung halamannya di Samoa, Hawaii setelah hampir 25 tahun tidak menziarah ibunya. Di sini juga ditunjukkan cara masyarakat di sana yang bertempur tanpa sebarang senjata buatan mesin sebaliknya hanya menggunakan ‘senjata’ tradisional seperti lembing untuk berlawan dengan musuh.

Kemunculan istimewa Kevin Hart dan Ryan Reynolds menjadikan filem ini lebih menarik dengan pelbagai ‘punch line’ melucukan yang dilontarkan mereka sehingga membuatkan anda terasa seperti menonton filem aksi komedi.

Secara keseluruhannya, filem ini mampu memberikan hiburan maksima buat anda sekeluarga berlibur pada hujung minggu ini! – KopiPlanet.com

XX Ray III Filem Unsur Sains Fiksyen Dan Penuh Komedi

Tajuk: XX Ray III
Tarikh Tayangan: 24 Januari 2019
Durasi: 1 jam 49 minit
Genre: Sains fiksyen / komedi
Pengarah: Aziz M. Osman
Pelakon: Izzue Islam, Nonny Nadhirah, Adam John, Dazrin Kamaruddin, Ardell Aryana, Ashraf Muslim,
Saiful Apek, Dato Rahim Razali, Dato Jalaudin Hasan, Razak Ahmad, Aziz M. Osman
Klasifikasi: P13

Setelah hampir 24 tahun, pengarah Aziz M. Osman sekali lagi mengekalkan filem bergenre sains fiksyen. Kesinambungan filem XX Ray III diteruskan hasil keberjayaan filem terdahulunya, XX Ray (1992) dan XX Ray II (1995).

Bagi karakter, pembikinan filem kali ini menampilan pelakon generasi baharu seperti Izzue Islam, Nonny Nadhirah, Adam John, Dazrin Kamaruddin dan Ardell Aryana.

Gandingan watak Rayyan dan Sam berjaya membuatkan penonton tidak kering gusi dengan gelagat dan aksi mereka dalam misi menyelamatkan dunia.

Menariknya, pengarah banyak memasukkan elemen sinematografi dengan penggabungan CGI bagi menyerlahkan lagi pergerakan kamera.

Selain itu, pemilihan teknik shot memberikan sentuhan yang dramatik daripada satu babak ke babak yang lain. Gabungan-gabungan ini membuatkan jalan penceritaan itu sampai ke hati penonton.

Secara ringkasnya, XX Ray III mengisahkan tentang tiga anak muda iaitu Rayyan (pelajar fizik), Sam (pelajar kejuruteraan zarah) dan Lana (pekerja rahsia syarikat perindustrian yang berpengkalan di Jordan/sempadan Israel) dalam misi untuk menyelamatkan kerajaan Malaysia daripada disabotaj oleh seorang hartawan muda, Rosman yang mengancam untuk mengulangi insiden kehilangan kuasa tenaga elektrik di seluruh negara yang pernah berlaku pada Ogos 1996.

Insiden tersebut disebabkan wormhole (lohong ulat) yang menyerap kuasa utama tenaga elektrik dari stesen jana kuasa di Paka, Terengganu. Lohong ulat terjadi adalah berpunca dari sebuah probe yang tidak dikenali dari angkasa lepas.

Bapa Rosman, Tan Sri Ismail telah mengambil probe tersebut dan menyembunyikannya. Hakikatnya probe tersebut adalah salah satu daripada ribuan probe yang diprogramkan untuk membuka stargate terbesar dan menyerap tenaga matahari untuk dihantar semula ke alam semesta lain.

Ketiga-tiga anak muda itu kemudiannya mencari buku nota yang ditulis oleh Profesor Amir (seorang tokoh ‘urban legend’) yang dipercayai mempunyai jawapan untuk mengawal probe berkenaan dan seterusnya menyelamatkan sistem solar.

Filem terbitan Ace Motion Pictures Sdn. Bhd itu telah pun ditayangkan di 71 pawagam seluruh negara bermula 24 Januari lalu.

Artikel : Syafiqah Othman
Pelajar : UiTM Puncak Perdana