• FOLLOW US
Filem, Review

Elemen Komedi & Seram Busut Bonang Menjadi, Ketawa ‘All The Way’

Tajuk: Busut Bonang
Tarikh Tayangan: 19 Disember 2019
Durasi: 1 jam 31 minit
Genre: Komedi / Seram
Pengarah: Khalid Nadzri
Pelakon: Nadzmi Adhwa, Along Eyzendy, Jasper Supayyah, Rashidah Jaafar, Sahronizam Noor, Hairi Safwan, Aloy Paradoks, Abby Nadzri, Ropie.
Klasifikasi: P13

Rasanya sudah lama industri filem tempatan tidak dihidangkan dengan filem bergenre komedi seram dan susulan itu, pengarah Khalid Nadzri berani mempertaruhkan karya terbaharunya, Busut Bonang bagi memberikan hiburan penuh maksima buat penonton.

Tidak keterlaluan penulis katakan, Busut Bonang merupakan antara filem tempatan terbaik pernah dikeluarkan pada tahun ini. Garapan, skrip, lakon layar serta persembahan barisan pelakonnya semua cukup serba-serbi malah penulis yakin filem ini mampu menghiburkan penonton daripada pelbagai lapisan umur.

Mengangkat kisah mengenai saka yang sering kali dikaitkan sebagai penjaga keturunan daripada nenek moyang, di kala memberi hiburan ia turut menyelitkan pengajaran agar tidak menyimpang daripada ajaran agama.

Jika sekali pandang, ‘look’ filem ini pastinya anda akan berkata ia seakan filem popular arahan Mamat Khalid, Hantu Kak Limah sementelah Ropie turut muncul dalam filem Busut Bonang. Menurut Khalid, dia memang sengaja mahu mewujudkan satu lokasi ‘signature’ dalam filem Busut Bonang iaitu Kedai Runcit Lokman seperti mana Warung Pak Jabit yang cukup dikenali menerusi naskhah Hantu Kak Limah.

Walaupun kelihatan Hantu Kak Limah, namun Busut Bonang sendiri mempunyai kekuatannya tersendiri terutama daripada segi dialog yang dituturkan setiap pelakonnya. Walaupun filem ini menampilkan Nadzmi Adhwa dan Along Eyzendy sebagai teraju utama namun anda akan dapat rasakan setiap karakter dalam filem ini memainkan peranan mereka dan masing-masing saling menonjol tanpa perlu terlalu mencuba dengan dialog yang cukup bersahaja dan kelakar.

Sinematografi filem ini juga wajar dipuji kerana berjaya menimbulkan suasana seram yang kena dengan babak yang dibawakan kerana tidak terlalu gelap sehingga menganggu fokus penonton, sepertimana yang sering terjadi pada filem-filem seram tempatan sebelum ini.

Setelah dua kali berlakon dalam naskhah seram, lakonan Nadzmi semakin memperlihatkan peningkatan malah dia juga tidak canggung apabila berada di samping pelakon-pelakon lain yang kebanyakannya bijak ‘ad lib’ dialog yang diberikan kepada mereka.

Lakonan Along, Hairi, Sahronizam dan Aloy tidak perlu dipertikaikan lagi, walaupun nama mereka tidak begitu meniti di bibir-bibir peminat tempatan namun persembahan yang diberikan mereka cukup cemerlang! Kemunculan istimewa Ropie dalam filem ini juga tidak mengecewakan malah menguatkan lagi jalan cerita dengan aksi bersahaja pelawak berpengalaman ini.

Walaupun ini merupakan filem pertama lakonan Jasper, bintang yang dicungkil menerusi sebuah pertandingan realiti nyanyian sebelum ini, namun jika terus diberikan peluang untuk digilap bakatnya, tidak mustahil Jasper boleh pergi jauh dalam bidang seni lakon.

Secara keseluruhannya, filem terbitan Alfanazra Productions Sdn. Bhd ini sangat menghiburkan dengan jalan cerita yang cukup difahami. Konsep ringkas kehidupan masyarakat di kampung berjaya digarap dengan cukup baik oleh Khalid sehinggakan membuatkan kita ternanti-nanti akan adakah lagi Busut Bonang 2 selepas ini.

Komedi yang ringkas serta tidak splastik merupakan antara rencah utama Busut Bonang di samping elemen seram yang tidak dilupakan. Elemen itu cukup jelas kelihatan pada watak hantu yang kelihatan realistik dan tidak ‘mencacatkan’ rupa keseluruhan filem ini.

Sinopis Busut Bonang:

Kematian mengerikan Cikgu Hassan menyebabkan timbul cerita oleh orang kampung bahawa kelibat arwah dilihat berkeliaran di Kampung Bonang untuk mencari pewaris baru. Pada masa yang sama, anaknya Julia turut mengalami gangguan makhlus halus. Pemilik rancangan televisyen “Merungkai Misteri” iaitu Joey dipanggil untuk menyiasat kebenaran di sebalik kejadian itu. Dia turut memperdaya Lutfy, penjual jeruk yang ingin mencari pekerjaan baru, untuk mengikutnya dan Julia. Malangnya, perjalanan mereka bertiga ke Busut telah diganggu oleh Penunggu Busut, menyebabkan mereka sesat.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend