FilemReview

Gabung Komedi & Seram, Jodoh Syaitan Berjaya Geletek Hati Penonton

Tajuk: Jodoh Syaitan
Tarikh Tayangan: 5 Mac 2020
Durasi: 1 jam 23 minit
Genre: Komedi / Seram
Pengarah: Ismail Bob Hasim
Pelakon: Sofi Jikan, Aprena Manrose, Allahyarham Abam Bocey, Jay Iswazir, Fauziah Nawi dan Kamarool Hj. Yusoff
Klasifikasi: P13

Apabila komedi dan seram bergabung, maka terhasillah Jodoh Syaitan yang dilihat mampu menggeletek hati penonton di samping efek kesan khas ‘hantu’ yang meremangkan bulu roma setiap yang menonton karya arahan Ismail Bob Hasim ini.

Jodoh Syaitan merupakan hasil idea daripada penerbitnya sendiri iaitu Allahyarham Datuk Mokharul Shamsul Mokhtar mengangkat cerita tentang seorang wanita cantik yang mengahwini pemuda kampung bernama Megat.

Wanita cantik bernama Mawar itu sebenarnya merupakan pontianak yang telah dihidupkan kembali namun Megat tidak mengetahui langsung mengenai asal-usul isterinya itu.

Kekuatan filem terbitan Da Motion Media Sdn. Bhd. ini terletak pada dialog-dialognya yang cukup kelakar dan mencuit hati lebih-lebih lagi datang daripada watak yang dijayakan Sofi Jikan, Allahyarham Abam Bocey dan Jay Iswazir.

Namun begitu, tidak dijangkakan ialah apabila penonton dapat melihat dengan lebih mendalam lagi sisi komedi dalam diri pelakon veteran, Fauziah Nawi yang sebelum ini lebih banyak dikenali dengan watak air mata.

Watak Fauziah sebagai ibu Megat juga mengundang tawa penonton yang terhibur dengan aksi dan lakonan bersahajanya disertakan dengan mimik muka bersesuaian dengan situasi babak tersebut.

Kredit dan pujian juga harus diberikan kepada penulis skrip Jodoh Syaitan, Epy Kodiang yang menghasilkan dialog-dialog yang segar dan melucukan.

Walaupun boleh dikatakan masih baharu lagi dalam industri lakonan, namun diakui Aprena Manrose tidak hanya bersandarkan pada kecantikan paras rupa semata-mata apabila dia dapat memberikan pelbagai emosi yang dituntut oleh wataknya sebagai Mawar.

Jodoh Syaitan juga merupakan filem terakhir lakonan arwah Abam Bocey atau nama sebenar, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan yang meninggal dunia pada 10 Februari lalu.

Filem ini pastinya meninggalkan memori yang cukup manis buat peminat setia Abam yang akan merindui aksi dan keletah lucunya sejak Allahyarham menyertai bidang seni tujuh tahun lalu.

Secara keseluruhannya, Jodoh Syaitan berjaya menggabungkan elemen seram dan komedi dengan baik malah tidak keterlaluan mengatakan solekan dan babak melibatkan pontianak kelihatan ‘real’ sehingga membuatkan penonton tidak boleh tidur malam!

Jodoh Syaitan akan menjengah 92 pawagam seluruh tanah air bermula hari ini (5 Mac 2020). – KopiPlanet.com

Sinopsis Jodoh Syaitan:

Akibat sering gagal dalam hubungan percintaan, Megat membuat keputusan untuk pulang ke kampung halamannya. Di sana, ibunya ingin mengahwinkannya dengan seorang gadis bernama Mawar.

Pada masa yang sama, dua rakannya iaitu Awang dan Kulup sedang mencari mayat untuk dipaku. Mereka telah diarahkan oleh Tok Chai, dengan harapan mayat itu akan hidup semula untuk dijadikan isterinya.

Konflik berlaku apabila Awang dan Kulup tidak berani untuk memberitahu kepada Megat kebenaran bahawa isterinya merupakan pontianak yang telah menjelma sebagai manusia.

Apakah pengakhirannya, adakah Megat akhirnya tersedar yang dikahwininya adalah sebenarnya jodoh syaitan? Sama-sama saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda bermula hari ini (5 Mac 2020). – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button