• FOLLOW US
Filem, Review

Ratu Kala Jengking Papar Kisah Sebenar Wanita Kahwin 99 Lelaki

Tajuk: Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda
Tarikh Tayangan: 27 Februari 2020
Durasi: 2 jam
Genre: Seram / Romantik
Pengarah: Bade Hj. Azmi
Pelakon: Nadia Brian, Amar Asyraf, Datuk Fizz Fairuz, Firman Siagian, Eyra Hazali, Fauziah Nawi, Raja Azmi dan Dayang Areeda.
Klasifikasi: P13

Jarang-jarang sekali penerbit tempatan berani menerbitkan filem yang memaparkan cerita rakyat. Namun hal ini berlainan buat pemilik rumah produksi, A. Aida Production, Datuk A. Aida yang menerbitkan filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.

Menurut A. Aida, dia memang mahukan filem bergenre cerita rakyat daripada karya anak tempatan memenuhi pawagam seluruh tanah air.

Memetik kenyataannya pada malam gala yang diadakan di Damansara baru-baru ini, A. Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang berkata, “Jika Hollywood boleh berbangga dengan filem Cinderella, Robin Hood dan Sleeping Beauty, kenapa kita tidak mengangkat cerita-cerita rakyat kita supaya dikenali dunia?”.

Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda yang mengangkat kisah benar yang terjadi di Kota Tinggi, Johor mengisahkan tentang seorang wanita, Cik Siti yang pernah berkahwin seramai 99 suami yang kesemuanya mati sehari selepas mereka diijabkabulkan.

Nadia Brian yang memegang watak utama sebagai Cik Siti memberikan lakonan yang penuh menyakinkan malah dia sendiri berjaya mencabar diri apabila badannya diletakkan sebanyak 18 ekor kala jengking bagi menampakkan lakonan yang cukup real.

Pelakon berusia 29 tahun itu dilihat bijak bermain dengan pelbagai emosi seperti sedih, gembira dan kesakitan sebagai Cik Siti. Wajahnya berubah menjadi hodoh selepas dia melanggar pantang dan disebabkan itu dia berjumpa dengan nenek kebayan yang akhirnya berjaya merubah kembali rupa parasnya menjadi cantik seperti sedia kala.

Namun, perbuatannya yang derhaka dengan ibunya telah menyebabkan suaminya mati secara tiba-tiba sehari selepas perkahwinannya.

Tidak serik dengan kematian suami pertama, kedua dan ketiga, Cik Siti dikatakan mengahwini sehingga 99 lelaki sepanjang hidupnya sehingga membuatkan penduduk kampung merasa curiga dengan kemungkinan ajaran sesat yang dipelajari wanita tersebut.

Walaupun kisah ini sudah berlaku sejak 200 tahun lalu namun penerbit dan pengarah, Bade Hj. Azmi bertindak menggunakan latar masa 1950-an bagi mencantikkan perjalanan filem ini. Pihak penerbitan menjalani penggambaran sepenuhnya di Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi bagi mengikut originaliti asal-usul kisah tersebut.

Walaupun menggambarkan suasana zaman dahulu kala, namun beberapa lagu terkini daripada penyanyi seperti Syamel, Ernie Zakri, Firman dan Khai Bahar dilihat melatari filem ini. Menurut A. Aida tujuan lagu itu diselitkan adalah ia bersesuaian dengan mood pada satu-satu babak itu selain ingin mengikut citarasa anak muda dengan penggunaan lagu penyanyi masa kini.

Teknik CGI filem ini juga wajar dipuji kerana ia kelihatan cukup kemas lebih-lebih lagi pada masa adegan kala jengking keluar daripada mulut Cik Siti. CGI merupakan garapan daripada Datuk Norman Abdul Halim manakala skor muzik filem ini pula datang daripada Yusry Abdul Halim.

Secara keseluruhan, filem ini adalah sebuah filem yang mampu memberikan hiburan maksima buat penonton seisi keluarga. Jangan lupa saksikan Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai hari ini (27 Februari).

Filem ini menampilkan lakonan hebat Nadia Brian, Datuk Fizz Fairuz, Amar Asyraff, Eyra Hazali, Dayang Areeda, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Raja Azmi, Fauziah Nawi dan penyanyi Indonesia, Firman Siagian. – KopiPlanet.com

Sinopsis Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda

Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda mengisahkan tentang Cik Siti yang mempunyai dua orang sahabat baik iaitu Mawar dan Teratai. Siti bercinta dengan Awang, namun dalam diam rupa-rupanya Mawar juga mencintai Awang. Teratai yang mengetahui pekara tersebut menasihati Mawar agar tidak mengkhianati sahabat baik sendiri.

Kemudian, wajah Cik Siti tiba-tiba diserang penyakit misteri apabila ditumbuhi jerawat batu. Keadaan mukanya sangat teruk sehingga orang kampung memanggilnya hantu dan diasering dihina dan dikeji, malah akhirnya Awang juga meninggalkannya. Cik Siti kecewa lalu berkawan dengan Nadim, pemotong kayu yang menjadi tempatnya mengadu. Mawar telah menghasut Cik Siti supaya pergi ke Gunung Panti untuk berubat dengan Nenek Kebayan, dengan harapan Awang akan menjadi miliknya.

Cik Siti nekad untuk pergi berubat dengan Nenek Kebayan, meskipun ibunya melarang. Semasa ketiadaan Cik Siti, Nadim yang menjaga ibunya siang dan malam. Terharu dengan kebaikkan Nadim, ibu Cik Siti telah berjanji yang dia akan mengahwinkan Nadim dengan Cik Siti.

Sementara itu, Cik Siti meredah hutan belantara tiga hari tiga malam, sehingga dia berjumpa dengan Nenek Kebayan yang bersetuju mengubati penyakitnya, tetapi dengan syarat Cik Siti tidak boleh menderhaka dan mengecilkan hati ibunya. Sekiranya melanggar pantang, Siti akan menerima akibatnya.

Cik Siti bersetuju dan terus berubat. Dia juga menuntut ilmu kebatinan. Setelah menuntut selama 99 hari, terdapat perubahan pada wajahnya. Mukanya licin dan cantik berseri-seri seperti bulan purnama. Untuk mengetahui kisah selanjutnya, jangan lupa saksikan filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini (27 Februari). – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend