FilemReview

M4M4 Runtun Emosi, Aksi Antagonis Bikin Penonton Geram

Tajuk: M4M4
Tarikh Tayangan: 6 Februari 2020
Durasi: 1 jam 46 minit
Genre: Seram / Thriller
Pengarah: Eyra Rahman
Pelakon: Nabila Huda, Bella Dowanna, Faizal Hussein, Kodi Rasheed, Niezam Zaidi, Ungku Hariz, Eyra Hazali dan Izzy Reef.
Klasifikasi: P13

Bila kali terakhir anda menonton filem yang benar-benar membuatkan emosi terganggu sehingga mengalirkan air mata? Filem terbaharu arahan Eyra Rahman ini pastinya mampu meruntun perasaan anda kerana ia mengangkat permasalahan yang cukup dekat dengan kaum wanita.

M4M4 atau maksudnya ‘mati empat, mati empat’ mengisahkan mengenai seorang ibu yang kehilangan anak tunggalnya dalam kematian yang cukup tragis selepas dirogol tiga orang samseng.

Mengangkat isu rogol serta ketabahan seorang ibu tunggal membesarkan anak perempuannya yang semakin meningkat remaja, pengarah cukup bijak menggadunkan jalan cerita secara berperingkat sebelum membawa emosi penonton dengan perasaan sedih, geram dan marah dalam satu naskhah yang sama.

Lakonan Nabila Huda tidak perlu dipersoalkan lagi apabila pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM 28) itu tampil dengan lakonan cemerlang sejajar dengan resumenya sepanjang penglibatannya dalam bidang seni.

Gaya lakonan Nabila sebagai seorang ibu tunggal cukup menyakinkan malah keserasiannya dengan pelakon baharu, Bella Dowanna juga tidak nampak kekok dan janggal. Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan wajah kedua-duanya kelihatan agak seiras untuk melakonkan watak ibu dan anak.

Pengarah juga cukup bijak memaparkan watak antagonis yang dilakonkan trio gangster iaitu Kodi Rasheed, Niezam Zaidi dan Ungku Hariz. Watak mereka bukan sekadar tempelan apabila dilihat cukup seimbang sekali gus mengukuhkan jalan cerita yang ingin dipaparkan.

Kodi dan Niezam cukup memberikan jiwa terhadap watak mereka sehinggakan mampu membuatkan penonton ‘meluat’ dengan karakter yang dibawakan oleh kedua-duanya. Lakonan jahat mereka dilihat hidup apabila diselangi dengan dialog-dialog jahat dan nakal yang sinonim dengan individu yang berada di bawah pengaruh bahan terlarang.

Di pengakhiran cerita, penonton akan dihidangkan dengan plot twist tidak disangka-sangka yang membawa kepada bagaimana insiden rogol itu boleh berlaku selain ‘keazaman’ semangat seorang ibu yang ingin menuntut bela di atas kematian anaknya.

Kesemua babak dalam filem terbitan Da Motion Media ini melalui 100 peratus kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) tanpa sebarang pemotongan adegan dilakukan.

Bakal ditayangkan bermula hari ini di 111 pawagam seluruh tanah air termasuk Brunei dan Singapura, M4M4 pastinya membuatkan emosi anda becampur baur antara perasaan sedih, geram dan marah sebaik melangkah keluar dari panggung wayang. – KopiPlanet.com

SINOPSIS M4M4:

Kisah bermula pada hari lahir ke-15 Alya (Bella Dowanna) yang disambut setiap tahun bersama mamanya, Aini (Nabila Huda). Setelah kematian suami ketika Alya berusia lapan tahun, Aini berusaha keras setiap hari untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk anaknya.

Alya mempunyai dua kawan baik iaitu Daniel (Izzy Reef) dan Elly (Eyra Hazali). Mereka bertiga tinggal di kawasan yang sama dan membesar bersama-sama. Pada suatu hari, Alya, mereka diganggu oleh tiga orang lelaki iaitu Apai (Kodi Rasheed), Luk (Ungku Hariz) dan Remy (Niezam Zaidi) yang terkenal dengan gaya dan lagak samseng mereka di kawasan tersebut.

Mereka sering menganggu pelajar-pelajar sekolah yang makan di kawasan tersebut, termasuk Alya. Namun, pada hari tersebut kesabaran Alya memuncak apabila Apai dengan beraninya menyentuh Alya. Berlaku pergaduhan di antara Apai, Alya dan Danny sehingga menyebabkan Alya dengan beraninya menyimbah sup panas kepada Apai.

Sewaktu Alya dan Elly sedang menunggu bas, sesuatu menimpa Elly dan dia terpaksa beredar dari situ buat seketika. Semasa Alya menunggu Elly, Apai dan kawan-kawannya muncul bersama motor dan membuat onar di situ. Alya dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Apai dan kawan-kawannya menarik Alya untuk pergi dari situ. Alya dibawa ke sebuah bangunan tinggal dan diperkosa dengan kejamnya. Alya pulang ke rumah dalam keadaan sakit dan cedera. Aini cuba menyembunyikan emosinya sebagai ibu demi membantu Alya yang masih trauma.

Namun, tekanan yang diterima dalam kalangan masyarakat menyebabkan jiwanya sebagai ibu turut terkesan. Melihatkan keadaan Aini, Alya cuba bangkit dan cuba untuk melupakan apa yang sudah terjadi. Dia mahu memulakan segalanya bersama Aini. Bagaimana Aini sebagai seorang MAMA menangani kemelut emosinya? Adakah Aini sanggup memaafkan ApaiI, Luk dan Remy? Segalanya bakal terjawab di dalam filem M4M4 yang bakal ditayangkan di pawagam pada 6 Februari 2020. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button