• FOLLOW US
Filem, Review

Fast & Furious: Hobbs & Shaw Menghiburkan, Padat Dengan Aksi Ekstrem

Tajuk: Fast & Furious: Hobbs & Shaw
Tarikh Tayangan: 1 Ogos 2019
Durasi: 2 jam 16 minit
Genre: Aksi
Pengarah: David Leitch
Pelakon: Dwayne Johnson, Jason Statham, Idris Elba, Vanessa Kirby, Helen Mirren
Klasifikasi: P13

Filem yang paling dinanti-nantikan buat peminat filem aksi, Fast & Furious: Hobbs & Shaw telah memulakan tayangannya bermula semalam.

Berpeluang menontonnya baru-baru ini, filem arahan David Leitch ini digarap dengan secukup rasa malah adrenalin turut terasa sepanjang 2 jam 16 minit filem ini ditayangkan.

Keserasian di antara dua pelakon utamanya, Dwayne ‘The Rock’ Johnson (Luke Hobbs) dan Jason Statham (Deckard Shaw) tidak perlu dipertikaikan lagi malah aksi gurauan dan ‘percakaran mulut’ di antara kedua-duanya turut menambah rencah selain menghambur tawa para penonton.

Yang menariknya, filem ini turut mengetengahkan pelakon yang pernah mendapat jolokan Lelaki Paling Seksi Dunia, Idris Elba sebagai watak villian (antagonis), Brixton Lore selain kemunculan ‘bunga’ lakonan Vanessa Kirby yang melakonkan watak perisik Hattie yang juga merupakan adik kepada Shaw.

Plot penceritaan mengisahkan tentang Hattie yang diburu Brixton kerana memiliki virus pemusnah yang dimahukan organisasi gelap Eteon. Ditugaskan untuk menjejaki Hattie, Hobbs & Shaw sekali lagi digabungkan untuk menjadi satu pasukan.

Pelbagai kisah menarik sepanjang pemburuan mereka malah dialog-dialog lucu antara dua ‘bromance’ ini turut mewarnai jalan cerita di mana masing-masing saling ‘cakap besar’ bagi membuktikan kehebatan mereka.

Jika menonton filem ini, anda jangan jangkakan perkara logik kerana hampir kesemua aksi yang dijayakan kelihatan tidak masuk akal tapi dah tujuannya pun untuk hiburan, maka imaginasi pengarah dan penerbit nampaknya dilaksanakan dengan cukup baik dan berkesan.

Menariknya, filem ini turut memaparkan Hobbs kembali ke kampung halamannya di Samoa, Hawaii setelah hampir 25 tahun tidak menziarah ibunya. Di sini juga ditunjukkan cara masyarakat di sana yang bertempur tanpa sebarang senjata buatan mesin sebaliknya hanya menggunakan ‘senjata’ tradisional seperti lembing untuk berlawan dengan musuh.

Kemunculan istimewa Kevin Hart dan Ryan Reynolds menjadikan filem ini lebih menarik dengan pelbagai ‘punch line’ melucukan yang dilontarkan mereka sehingga membuatkan anda terasa seperti menonton filem aksi komedi.

Secara keseluruhannya, filem ini mampu memberikan hiburan maksima buat anda sekeluarga berlibur pada hujung minggu ini! – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend