Rancangan TVTV

Borak Kelamin Kupas Isu Tabu & Sensasi Mengenai Kisah Rumah Tangga, Hanya Tontonan 18 Tahun Keatas

Saluran Astro Ria kini tampil dengan sebuah program baharu iaitu Borak Kelamin, sebuah bual bicara dengan kerjasama Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. khusus tentang alam perkahwinan berkaitan isu-isu rumah tangga yang sering dianggap tabu atau sensitif untuk dibincangkan secara terbuka.

Apa yang menariknya, program berkenaan juga diklasifikasikan untuk tayangan 18 tahun ke atas kerana mengandungi aspek kedewasaan yang tidak keterlaluan dalam setiap topik perbincangan.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, hal berkaitan dengan ‘cerita dalam kain’ dalam sesebuah institusi perkahwinan adalah subjek tabu yang kurang dibicarakan secara terbuka terutamanya di kaca televisyen serta sering dielakkan untuk menjaga aib dan sensitiviti masyarakat.

“Jika kita lihat sejak kebelakangan ini, semakin ramai pasangan suami isteri yang mungkin sedang mengalami konflik dalaman gemar mengadu domba di media sosial. Sekiranya perkongsian tersebut dilihat daripada perspektif positif, mungkin respons yang diterima daripada netizen dapat membantu meredakan tekanan.  Jika sebaliknya, ia hanya akan mengeruhkan lagi keadaan tanpa sebarang jalan penyelesaian. 

“Sehubungan itu, kami dengan berbesar hati membawakan program ‘Borak Kelamin’ sebagai platform utama dalam menyalurkan maklumat yang berkaitan dengan lebih luas menerusi sesi perbincangan yang sihat, harmoni dan positif bersama panel jemputan,” jelasnya.

Ujar Emarina, meskipun topik yang bakal diketengahkan agak panas dan boleh mengundang kontroversi, namun ia tidaklah keterlaluan dan masih sesuai dengan resam masyarakat Malaysia.

Menurutnya, pihaknya percaya tahap penerimaan penonton masa kini sudah semakin matang dan tahu menilai mesej di sebalik keseluruhan konteks kandungan yang ingin disampaikan. 

“Semoga perkongsian ilmu menerusi program ‘Borak Kelamin’ dapat dijadikan rujukan serta boleh dimanfaatkan bersama baik oleh pasangan yang sudah berkahwin mahupun yang sedang dalam persediaan menuju ke alam rumah tangga,” ujarnya.

Untuk musim yang pertama kali diterbitkan ini, Awal Ashari dan Elly Mazlein telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan program Borak Kelamin selaku hos bersama sepanjang 10 buah episod.

Tampil dengan pengisian interaktif yang berani dan sensasi, program ini mengetengahkan topik-topik diskusi merangkumi kupasan ilmiah yang kompresensif oleh barisan panel pakar perunding jemputan daripada pelbagai bidang pengkhususan berdasarkan tema mingguan seperti pakar motivasi, perunding psikologi, kaunselor perkahwinan, penceramah, dan sebagainya.

Bagi merancakkan lagi sesi perbincangan pada setiap episod, tetamu jemputan istimewa yang terdiri daripada barisan selebriti popular tanah air turut diundang khas untuk berkongsi pengalaman peribadi sepanjang melayari bahtera perkahwinan bersama pasangan atau bekas pasangan secara terbuka dan profesional.

Program Borak Kelamin akan berdurasi selama 60 minit dan telah bersiaran secara eksklusif pada setiap hari Isnin, jam 9.00 malam mulai 1 Mac lalu di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button