Cerita ArtisHiburan

Cakra Khan Elak Nyanyi Lagu Patah Hati Untuk Album Baharu

Selepas kali terakhir muncul dengan album penuh pada tahun 2013, penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan bakal menghadiahkan peminat setianya dengan album baharunya pada hujung tahun ini.

Ingin membuat kelainan, menurut jejaka berusia 27 tahun ini, untuk album keduanya itu dia mengambil pendekatan enggan menyanyikan lagu-lagu patah hati seperti mana sinonim dengan lagu-lagu nyanyiannya sebelum ini.

“Jika album pertama saya banyak lagu-lagu patah hati, untuk album baharu ini semuanya bukan berunsur lagu sebegitu.

“Lagu-lagu kali ini lebih membawa maksud positif dan kebahagiaan. Saya cuba bawa mesej, jika kita sentiasa rasa bahagia dan gembira pastinya ia juga akan mempengaruhi minda kita.

“InsyaAllah, album ini akan berada di pasaran selewat-lewatnya pada hujung tahun ini. Kalau diikutkan situasi pasaran muzik sekarang, memang saya akan lebih beri perhatian kepada jualan lagu menerusi aplikasi digital kerana jualan album fizikal kurang memberansangkan,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Big Stage 2019 yang diadakan di The Starling Mall, Damansara Utama, semalam.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pelantikannya sebagai juri tetap program pencarian penyanyi yang bertagline Budak Baru Nak Up (BBNU) itu, Cakra melihat peluang itu sebagai satu caranya untuk melihat dan menggali bakat-bakat baharu yang boleh mewarnai industri muzik serantau.

“Saya percaya program ini mampu melahirkan bintang yang bukan sahaja boleh menyinar sepanjang pertandingan ini sahaja sebaliknya selepas Big Stage berakhir pun mereka masih lagi berada dalam industri.

“Survival selepas program ini berakhir itu yang lebih penting dan daripada penilaian awal saya, kesemua 12 peserta boleh menyanyi dengan baik dan ada imej dan identiti mereka tersendiri.

“Saya akan menduduki kerusi juri tetap bersama-sama Datuk Seri Siti Nurhaliza dan akan bergilir-gilir setiap minggu dengan Judika,” katanya.

Big Stage 2019 akan bersiaran mulai 18 Ogos ini di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Seramai 12 peserta akan bersaing dalam Big Stage 2019 iaitu Santesh, Adzrin, Irfan Harris, Kucaimars, Neeta, Syada Amzah, Fieya Julia, Sheryl Shazwanie dan empat peserta luar negara iaitu Aziz Harun (Brunei), Han-Byul (Korea Selatan), Chaleeda Gilbert (Thailand) dan Dinda Permata (Indonesia). – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button