DramaTV

Catat Kutipan RM56.9 Juta, Siri Filem Kampung Pisang Kini Muncul Dalam Drama Bersiri

Lima buah filem di bawah francais Kampung Pisang ternyata mencipta rekod tersendiri apabila meraih kutipan sejumlah RM56.9 juta menerusi filem Hantu Kak Limah (RM38.6 juta – 2018), Zombie Kilang Biskut (RM1.5 juta – 2014), Husin, Mon & Jin Pakai Toncit’ (RM6.4 juta – 2013), Hantu Kak Limah Balik Rumah (RM8 juta – 2010) dan Zombi Kampung Pisang (RM2.4 juta – 2007).

Oleh yang demikian, buat julung kalinya Astro telah membawakan francais filem blockbuster ke skrin televisyen dalam bentuk drama bersiri premium menerusi jenama Astro Originals, bertajuk Kampong Pisang Bersiri-Siri, arahan Mamat Khalid.

Mamat berkata, francais Kampung Pisang ini amat isitmewa di hatinya dan percaya ada sebahagian penonton yang turut membesar dengan filem-filem arahannya itu.

“Sejak tahun 2007 karya ini diperkenal, saya ingin menzahirkan satu kelainan khususnya kepada mereka yang setia menyokong, justeru saya gabungkan hampir kesemua watak filem ke dalam siri ini.

“Penonton akan disajikan dengan jalan cerita, elemen komedi, hantu dan kameo yang berbeza di setiap episod. Manakala, barisan pelakon bukan sahaja dalam kalangan pelakon tetapi turut membintangi adalah barisan pengarah hebat tanah air seperti Mat London, Nasir Jani, Ellie Suriaty, Pekin serta kartunis Imuda dan pelukis komik Ujang, Soya,” jelasnya.

Menurut Mamat, Kampong Pisang Bersiri-Siri juga dianggap sebagai satu cabaran baru buat diribta kerana ini merupakan pertama kali saya mengarahkan drama bersiri, namun perlu mengekalkan kualiti dan ‘end result’ setanding filem.

Jelas beliau, untuk drama ini teknik teknologi pengimejan telah dilakukan oleh tenaga pakar di Australia dan proses adunan audio dan bunyi pula dilakukan di Thailand.

“Saya berharap penonton akan berpuas hati dan sedikit sebanyak mampu membawa mereka keluar dari tekanan seketika khususnya di kala dunia dilanda pandemik Covid-19 ini.

“Tidak salah kiranya jika kita meluangkan sedikit masa untuk berhibur bersama keluarga dan yang tersayang dengan menonton karya Kampung Pisang.” ujarnya.

Masih berlatarbelakangkan Kampung Pisang, drama siri berdurasi satu jam ini menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu. Antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Bagi watak penduduk tetap Kampung Pisang, ia akan dijayakan oleh Kazar Sairi, Bell Ngasri, Dewa Sapri, Aziz M. Osman, Mat London, Avaa Vanja, Nazeera Sardi dan ramai lagi.

Tambah menarik, penonton boleh turut menyaksikan penampilan khas barisan selebriti popular tanah air secara bergilir-gilir pada setiap minggu sepanjang 12 episod siri ini bersiaran.

Di antara mereka yang terlibat adalah Datuk Awie, Hazama, Ellie Suriaty, Pekin, Delimawati, Ozlynn, Soffi Jikan, Joey Daud, Kamarool Hj Yusof, Imuda, TJ Isa, Adam AF, Azlan Komeng, Ayie Hushairi, Faizal Chal, Nasir Jani, Soya dan Shuk Sahar.

Selain itu, drama berkenaan turut memperkenalkan beberapa watak sampingan baharu seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-Siri bakal menemui penonton mulai 7 Disember ini pada setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD). – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button