• FOLLOW US

Mamat Khalid Mohon Penonton Tidak Tonton 17 Puasa Secara Haram

Pengarah terkenal Mamat Khalid menyatakan super telemovie terbaharu arahannya berjudul 17 Puasa yang kini ditayangkan di Astro First Eksklusif sudah dimuat naik secara haram di Internet.

Mamat Khalid berkata, dia mula menyedari perkara tersebut pada pagi tadi terhadap tindakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan pautannya telemovie berkenaan di Facebook.

“Supertele #17puasa ni kami usahakan dengan modal yang dikumpul bersama-sama keluarga dan sahabat taulan abang. Masing-masing cip in utk mencukupkan bajet bagi abang berkarya. Selepas keluar hospital masa tu semangat abang untuk turun mengarah amat tinggi dan mereka tau ini adalah satu terapi bagi abang mengembalikan semangat dan kesihatan diri yang semakin hari semakin nipis nafasnya.

“Cuma pagi ini sudah mula menular pautan muat turun drama 17 Puasa ini di Facebook atas usaha mereka yang ingin berkongsi tonton tanpa bayaran kerana dalam pandangan mereka ianya amat kecil dan remeh untuk difikirkan implikasinya kepada abang,” luahnya menerusi Facebook miliknya.

Pada masa sama, pengarah berkenaan juga meminta supaya penonton tidak menontonnya secara haram memandangkan pelaburan yang telah dibuat untuk menghasilkan supertelemovie tersebut.

“Jangan la. Abang dapat cuma rm0.50 sekali subscription setelah ditolak kongsi bersama station serta modal pelaburan sahabat taulan.

“Seniman biasa menangis lagi mengenangkan tiada yang sanggup melabur dalam karya abang lagi jika setiap kali dicetak rompak dan dimuatturun percuma dgn penuh rasa tidak bersalah,” ujarnya.

17 Puasa mengisahkan tentang sekumpulan penduduk kampung atau dipanggil geng plastik hitam yang gemar ponteng puasa dan menyembunyikan kegiatan mereka daripada pengetahuan keluarga masing-masing.

Antara barisan pelakon yang membintangi supertelemovie berkenaan seperti Aziz M. Osman, Bell Ngasri, Sharwani Hamad Hadi, TJ Isa, Jue Aziz, Amran Kasaruddin, Dewa Sapri, Ziema Din dan Rashid Mohd. – KopiPlanet.com

HKL Cipta Rekod Filem Tempatan Pertama Cecah Kutipan RM20 Juta

Filem Hantu Kak Limah (HKL) terus-menerus mencatat rekod tersendiri apabila kali ini menjadi filem tempatan pertama yang pertama mencecah kutipan RM20 juta apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM20.5 juta dalam tempoh 11 hari tayangan.

Astro Shaw dan Infinitus Gold dalam satu kenyataan memberitahu, ia menjadikan HKL mendapat kutipan filem tertinggi bagi sesebuah filem tempatan. Rekod ini pernah dipegang oleh filem Abang Long Fadil 2 (terbitan Astro Shaw & Skop Productions ) menerima RM19.04 juta selama 28 hari tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Buat masa ini, filem HKL arahan Mamat Khalid itu masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia termasuk Brunei dan Singapura sejak 9 Ogos yang lalu.

Ia membariskan pelakon hebat seperti Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Ropie, Mus May, Sharwani, TJ Isa, Jue Azi serta penampilan istemewa Erra Fazira dan Datuk Seri Vida.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif, Dato’ Khairul Anwar Salleh, Gayatri Su-lin dan TP Lim termasuklah pengarah Mamat Khalid , barisan pelakon dan pekerja filem merasa bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia, Brunei dan Singapura serta rakan media dan rakan pemamer yang sentiasa menyokong dan meletakkan filem HKL di kedudukan rating tertinggi menerusi kutipan pecah panggung terbesar sepanjang zaman. – KopiPlanet.com