Cerita ArtisHiburan

Che Ta Dah Cukup Tiga, Lebih Pentingkan Kualiti Daripada Kuantiti

Memasuki ulang tahun keenam perkahwinannya dengan pelakon Zain Saidin pada tanggal 13 Disember lalu, pelakon Rozita Che Wan tidak ketinggalan ditanya mengenai penambahan ahli keluarga bagi menyerikan lagi rumah tangga mereka.

Walaupun tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki hamil lagi, namun Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta berkata dia bersyukur dengan kehadiran ketiga-tiga anaknya yang semakin membesar.

“Saya tidaklah kata nak tutup kilang (tidak mahu mengandung), saya pun dah nak cecah 47 tahun. Nak beranak itu memang senang, tapi nak membesarkan anak-anak itu yang agak mencabar pada zaman sekarang. Kalau saya suri rumah sepenuh masa, saya rasa saya boleh sahaja kalau nak beranak tiap-tiap tahun. Tapi sebab saya bekerja, perkara itu agak mustahil, sebab kita bukan sekadar kena bagi kasih sayang sahaja.

“Kita kena juga bagi sepenuh perhatian pada anak-anak. Saya tak rasa saya mampu beri benda itu sekiranya dikurniakan anak lagi. Bagi saya cukuplah tiga anak yang saya ada ini, biar kualiti daripada kuantiti,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada Festival LIFT Putrajaya 2019 yang berlangsung di Putrajaya, baru-baru ini.

Hasil perkahwinan dengan Zain, Che Ta dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia lima tahun. Che Ta turut mempunyai dua anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Ammar Effendy, 23, dan Aniq Ezra, 21.

Sementara itu ketika ditanya perancangannya pada tahun hadapan, Che Ta berkata dia akan menjalani penggambaran di Uzbekistan pada Februari nanti selain akan menerbitkan lebih banyak program di bawah syarikat produksinya sendiri, Padusi Production.

“Menjelang 2020, saya akan kembali ke set penggambaran dan akan terbang ke Uzbekistan di bawah produksi Zeel Production. Selain itu, syarikat produksi saya Padusi sudah merangka rancangan bagi menerbitkan lagi pelbagai program bermutu untuk tayangan tahun depan.

“InsyaAllah semua akan ikut seperti perancangan. Selain itu, saya juga sibuk menguruskan perniagaan yang diusahakan secara atas talian. Jika tahun ini, saya keluarkan produk bengkung, tahun depan kami akan keluar produk baharu, tunggu dan lihat sahaja nanti,” katanya yang turut membuka gerai jualan menjual beg tangan dan produk kecantikan pada Festival LIFT.

Festival LIFT adalah singkatan bagi ‘Literacy in Fincancial Technology’ atau Literasi Dalam Teknologi Kewangan’ anjuran Kementerian Kewangan Malaysia yang merupakan festival bermatlamatkan pemerkasaan celik kewangan sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk membina masyarakat digital.

Buat julung kalinya diadakan, Festival LIFT yang diadakan pada Sabtu dan Ahad lalu mempamerkan literasi teknologi kewangan pada masa kini dan hadapan di mana ia merupakan kerjasama bersama Bank Negara Malaysia dan industri kewangan di Malaysia. Ia diadakan selaras dengan komitmen Kerajaan ke arah transformasi digital.

Dipersembahkan dalam konsep interaktif dan ‘fun’ dengan persembahan seni dan teknologi, festival berlangsung di tiga lokasi strategik iaitu di Menara Perkeso@Putrajaya, Bangunan Suasana PjH dan Kompleks Kementerian di Putrajaya, menerusi ‘The Showcase, The Market and The Fringe’.

Pada festival itu, pengunjung telah berpeluang melawati ‘Future Pods’, yang merupakan pameran awam mengenai aspek kehidupan masa hadapan bahkan boleh bermesra dengan robot ‘Cruzr’ yang bijak menjawab apa sahaja pertanyaan anda.

“Ini antara tarikan untuk memikat hati kanak-kanak agar minda mereka terbuka kepada dunia digital,” jelas Joe Sidek daripada Joe Sidek Productions Sdn Bhd selaku rakan kolaborasi pihak penganjur. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button