Cerita ArtisHiburan

Dah Kurang Berlakon, Mia Sara Nak Cuba Nasib Jadi Penyanyi

Pelakon cilik yang semakin meningkat remaja, Mia Sara Nasuha yang kini dilihat semakin memperlahankan aktiviti seninya mendedahkan dia ingin mencuba nasib dengan bergelar penyanyi pula selepas ini.

Namun menurut Mia, 14, dia terlebih dahulu ingin memberikan fokus terhadap pembelajarannya sebelum lebih serius mendalami minat terbaharunya itu.

“Saya masih ada dalam industri dan tidak menghilangkan diri. Sebaliknya saya perlahankan karier lakonan demi memberikan fokus kepada peperiksaan tahun hadapan iaitu PT3.

“Sekarang memang saya tidak akan ambil tawaran yang menuntut saya perlu berada lama di lokasi penggambaran. Selain itu, saya kini sedang dalam proses untuk mempersiapkan diri untuk menceburi bidang nyanyian.

“Sebelum ini saya pernah masuk kelas vokal namun berhenti seketika sebab tiada masa untuk belajar. InsyaAllah, lepas ini kalau ada masa saya nak masuk kelas belajar main piano dan gitar pula memandangkan saya dah mahir bermain ukelele, itupun saya belajar sendiri dengan menonton video di Youtube,” katanya kepada KopiPlanet.com pada majlis sidang media kempen Astro Go Cuti Sekolah yang berlangsung di Blokke, Citta Mall, Ara Damansara semalam.

Menerusi kempen cuti sekolah itu, Mia tampil dengan sitkom terbaharu berjudul SMK yang akan bersiaran di Astro Ceria pada setiap hari Sabtu bermula 30 November jam 11 pagi.

Bercerita lebih lanjut mengenai minatnya dalam bidang muzik, Mia berkata dia menggemari genre R&B dan ballad dan berharap dapat tampil dengan single sebegitu di masa akan datang.

“Saya tidak akan tampil dengan single dalam masa terdekat sebab nak beri fokus pada pembelajaran dahulu selain nak sambung kelas vokal balik. Itu semua mengambil proses yang lama. InsyaAllah impian saya nak bergelar penyanyi akan terlaksana nanti.

“Buat masa ini, saya lebih senang fokus pada perniagaan tudung serta produk penjagaan bibir sebab ia tidak mengambil masa saya yang terlalu banyak. Selain itu, saya juga ada buat Youtube content, tak sangka buat suka-suka sahaja tapi ada juga orang yang sudi langgan Youtube channel saya,” katanya.

Mia mula mengecapi populariti selepas membintangi drama bersiri Adam Maya ketika dirinya berusia setahun di samping Lisa Surihani dan Syed Hussein. Sejak itu, dirinya mula menjadi bualan di kalangan peminat cilik sehingga menjadi antara pelakon kanak-kanak yang paling laris dengan tawaran lakonan pada suatu ketika dahulu. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
2
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button