Cerita ArtisHiburan

Demi Anak Autisme, Edry Bawa Keluarga Berhijrah Ke Eropah

Demi memastikan anak ketiganya, Emery, 11, yang merupakan penghidap penyakit autisme mendapat pendidikan terbaik, anggota kumpulan KRU, Edry Abdul Halim merancang membawa keluarganya berhijrah ke Eropah selepas sambutan perayaan Aidilfitri tahun ini.

Keputusan itu dibuat hasil perbincangan Edry, 42, bersama isteri, Milia Mohamad bagi membantu perkembangan Emery yang masih belum boleh bertutur.

Selain Emery, Edry turut mempunyai tiga anak lagi iaitu, Emil, 18, Edylia, 15, dan Elya, 8 tahun.

“Selama ini, kerja saya mengajar orang lain. Saya tertanya-tanya, kenapa tidak saya tumpukan perhatian penuh kepada anak istimewa sendiri. Demi masa depannya, kami sekeluarga sedia berhijrah, mungkin untuk setahun dua dahulu.

“Saya dan isteri belum putuskan lagi lokasinya, tetapi di Eropah. Bukan tiada pusat pendidikan yang bagus di sini, namun kemudahan untuk kana-kanak autisme di sana lebih lengkap,” kata Edry kepada KopiPlanet.com.

Edry ditemui pada majlis sidang media khas KRU yang diadakan di Hotel Impiana, Kuala Lumpur semalam.

Dalam sidang media itu, KRU yang turut dianggotai dua abangnya, Datuk Norman dan Yusry membuat pengumuman mengenai pembubaran kumpulan tersebut.

KRU secara rasminya akan dibubarkan selepas persembahan terakhir Konsert Gergasi KRU 25 di Istana Budaya pada 6 Mei ini. Konsert perpisahan itu akan berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Mei hadapan.

Menurut Edry, mereka bertiga sepakat untuk membubarkan KRU yang telah ditubuhkan pada 1992 itu kerana sudah tiada apa lagi yang ingin dikejarkan selain menumpukan perhatian terhadap komitmen masing-masing.

“Kami tidak pernah merancang untuk mengucapkan selamat tinghal kepada nyanyian selepas 25 tahun bersama, tetapi sudah tiba masanya kami berundur. Saya sendiri ingin memberikan sepenuh tumpuan kepada keluarga terutama Emery.

“Norman akan fokus dengan aktiviti kemasyarakatan beliau manakala Yusry pula dengan kerja-kerja kreatifnya selepas ini.

“Walaupun kumpulan KRU sudah tidak ada, namun syarikat kami, KRU Studios dan KRU Academy masih lagi berjalan seperti biasa. Yang bezanya, kami kini sudah lagi tidak bergelar penghibur selepas lebih dua dekad melibatkan diri dalam bidang nyanyian,” jelas Edry. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Edry Abdul Halim

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button