Cerita ArtisHiburan

Ditipu Sampai Hilang Rumah, Zarina Gigih Berniaga

Pelakon Zarina Zainuddin mendedahkan ada satu insiden berlaku terhadap dirinya sekeluarga yang kini telah banyak mengubah persepsinya dalam menjalani kehidupan seharian.

Menurutnya, selepas suaminya ditipu seorang rakan niaga sehingga menyebabkan mereka kehilangan rumah banglo kira-kira dua tahun lalu, dia kini lebih menghargai kehidupan dan tidak kisah dengan kekayaan dan kemewahan yang sering kali dikaitkan dengan golongan selebriti.

“Dua tahun lalu suami pernah ditipu seorang rakan niaganya sehingga menyebabkan kami kehilangan rumah. Selepas melalui episod itu, kini saya lebih menghargai kehidupan dan tidak lagi memandang kemewahan, tidak seperti suatu ketika dahulu.

“Sejak kejadian itu, saya jadi kuat dan terus bekerja untuk menyara kehidupan saya dan anak-anak. Rutin harian saya bermula dari pukul 4.00 pagi bagi menumis bahan-bahan membuat pulut kuning serta rendang ayam dan daging yang diusahakan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program TV Versus 1001 Rasa Baba’s di Hotel Empire Subang, Subang Jaya, baru-baru ini.

Dalam rancangan itu, Zarina telah diundang sebagai juri jemputan bagi mengadili masakan peserta yang mengambil bahagian.

Menurut Zarina lagi, perniagaan pulut kuning yang dijalankannya sejak empat tahun lalu itu kini telah mula mendapat perhatian ramai termasuk rakan-rakan artis.

“Banyak juga saya dapat pesanan daripada rakan-rakan artis, antaranya saya pernah buat pulut kuning untuk majlis perkahwinan Nora Danish pada Mac lalu.

“Fasha Sandha pun sering order dengan saya. Kalau ada apa-apa majlis, memang dia akan order,” ujarnya lagi yang berterima kasih kepada rakan-rakan artis dan peminat yang sentiasa menyokong perniagaannya.

Menurutnya, dengan menjalankan perniagaan yang dibuat di rumah, ia secara tidak langsung merapatkan lagi hubungannya dengan anak-anak.

“Dengan perniagaan yang dibuat di rumah, secara tidak langsung saya ada masa dengan anak-anak sebab sebelum ini saya sering habiskan masa di set penggambaran,” katanya lagi.

Yang menariknya, perniagaan pulut kuning Zarina turut mendapat sokongan daripada madunya yang turut bertindak sebagai individu yang menguruskan hal kewangan perniagaan tersebut.

“Pesanan pulut kuning yang paling banyak pernah saya terima dalam sehari ialah 700 bungkus sejak mula berniaga empat tahun lalu. Saya dibantu dengan lapan orang pembantu yang ditugaskan untuk membungkus pesanan. Bab-bab menumis memang saya yang buat sendiri sebab nak jaga kualiti produk,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan kariernya, Zarina berkata dia kini sedang sibuk di set penggambaran sebuah drama yang berkisarkan remaja autism. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button