
Drama Bersiri terbitan dari Arie Zaharie Production dan Knack Knack Studios yang berjudul Resort Kasih Bunga Raya sudah mula ditayangkan bermula 15 Mac lalu.
Drama berkenaan diarahkan Norliza Ismail, seorang pengarah yang sangat berpengalaman dan tidak asing lagi dałam kalangan stesen-stesen televisyen, syarikat produksi dan para pelakon lama dan baharu.
Penerbitnya, Arie Zaharie berkata, cetusan idea asal drama bersiri berkenaan adalah daripada Sabri Yunus yang berkonsepkan romantik komedi.
“Ia mengisahkan suasana harian pekerjaan pengurusan dan staf yang berkerja di Resort Kasih Bunga Raya serta pelbagai kisah lucu, sedih, kekecohan dan keceriaan yang berlaku.
“Ia juga memaparkan motivasi dan semangat diantara para pekerja dan pihak pengurusan RKBR yang berkerja serta gelagat para tetamu yang menginap di resort tersebut,” ujarnya.
Antara barisan pelakon yang menjayakan drama berkenaan seperti Roy Azman, Rahim Omar, Mustaqim Bahaddon, Tash Yong, Melanie Tan dan Derek Yifan.
Drama berkenaan ditayangkan di slot Sitrus di saluran TV1, RTM
setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 10.30 malam sebanyak 13 episod. – KopiPlanet.com