
Ekin Akui Tumpang Populariti Mawi Untuk Lariskan Bisnes
Pelakon yang kini bergelar usahawan, Ekin atau nama sebenarnya, Nora’Ashikin Rahmat mengakui dia memang menggunakan populariti yang dimiliki suaminya, Mawi dalam melariskan jualannya.
Ekin yang kini lebih selesa meniaga produk kesihatan dan pakaian berjenama UneQuein berkata, Mawi juga seorang yang tidak jemu mempromosikan produk jualannya, sekali gus ia memberikan publisiti percuma untuk perniagaannya.
“Memang tidak dinafikan populariti yang dimiliki Mawi membantu dalam perniagaan baju Melayu dan kurta yang diusahakan saya bersama kembar iaitu Aein.
“Suami rajin mempromosikan dengan memakai baju-baju keluaran kami di mana-mana majlis yang dihadirinya dan Secara tidak langsung ia membantu meningkatkan jualan. Malah, dia sendiri pun jadi model untuk produk pakaian ini,” kata Ekin kepada KopiPlanet.com.
Ekin ditemui pada majlis sidang media Festival Ramadan Putrajaya di Presint 3, Putrajaya baru-baru ini. Menerusi festival yang berlangsung 17 Mei hingga 14 Jun itu, Ekin dan Aein akan membuka gerai jualan produk di sana.
Bagaimanapun, Ekin memberitahu dia telah menutup butik di Bangi bagi menjalankan perniagaan sepenuhnya di atas talian (online).
Dalam pada itu, walaupun sudah tidak lagi aktif menceburkan diri dalam bidang seni, Ekin menyatakan dia masih lagi mendapat tawaran daripada produser untuk membintangi drama-drama terbitan mereka.
“Walaupun saya sudah lama menyepi dari dunia seni, tetapi ada sahaja tawaran yang diberikan kepada saya dan Aein, lagi-lagi watak untuk kembar. Kami terpaksa menolak disebabkan kekangan masa selain fokus kami yang kini lebih kepada keluarga dan perniagaan.
“Lagipun saya lebih selesa hanya Mawi sahaja yang ke hadapan, biar saya menyokong dari belakang pun tidak mengapa,” katanya.
Hasil perkongsian hidup dengan Mawi, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Cahaya Malaika yang kini berusia enam tahun.
Ketika ditanya tidakkah dia dan suami mahu menambah bilangan ahli keluarga, Ekin berkata berkata dia hanya menyerahkan perkara itu kepada rezeki yang telah ditetapkan.
“Kami langsung tidak pernah merancang, kalau ada rezeki kami terima. Kalau tiada, tidak mengapa kerana untuk dapat Cahaya pun lama kami tunggu rezeki ini.
“Doktor pun ada menasihatkan saya, kalau ingin mengandung lagi perlu banyakkan berehat dan mengambil makanan tambahan.
Cuma sekarang memang saya sentiasa sibuk ke sana-sini dengan perniagaan. Jadi kami hanya serahkan pada rezeki. Kalau ada, adalah nanti,” katanya. – KopiPlanet.com




