Cerita ArtisHiburan

Elak Kena Banned, Anak Jamal Abdillah Tidak Guna Nama Osama

Terpilih sebagai salah seorang peserta program realiti nyanyian, Big Stage 2020, anak kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah tampil dengan nama komersil baharu, Yamani Abdillah.

Menurut pemilik nama lengkap Osama Yamani Jamal Abdillah ini, dia mempunyai sebab kenapa tidak menggunakan nama Osama sebagai nama pengenalannya dalam bidang seni.

“Sebelum ini saya memang gunakan nama Osama Yamani, tetapi bila saya buat video dan letak di laman YouTube, dalam dua tiga hari selepas itu video saya kena ‘banned’ sebab nama Osama.

“Jadi dari situ saya bincang dengan ayah, boleh atau tidak kalau saya letak Abdillah di belakang nama Yamani dan ayah beri keizinan. Lagipun itu merupakan nama ayah saya bukan nama orang lain pun. Tidak timbul isu saya tumpang nama dia.

“Ayah pun beri galakan dan harapannya supaya saya dapat teruskan legasi dia dalam industri walaupun haluan muzik kami berbeza. Jika Jamal Abdillah lebih dikenali sebagai Raja Pop, genre muzik saya pula lebih ke arah rock,” katanya.

> Baca: Ajai, Dayang Nurfaizah Ganti Siti Nurhaliza Jadi Juri Big Stage 2020

Yamani ditemui pada majlis sidang media pengumuman peserta Big Stage 2020 yang berlangsung di The Nicksman, The Starling Mall, Damansara Utama semalam.

Yamani, 19, bakal bersaing dengan 11 lagi penyanyi iaitu peserta lelaki, Usop, 23, Qody, 26, Hafiz Zainal, 28, Azzam Sham, 23, Fadh Majid, 27, Amir Hasan, 24, dan empat peserta perempuan iaitu Nana Sheme, 25, Hanie Soraya, 26, Sandra Dianne, 26, dan Farisha Iris, 23.

Walaupun sibuk dengan persiapan program tersebut, Yamani berkata dia tidak akan mengabaikan pengajiannya dalam bidang Diploma Muzik di Aswara.

“Sekarang kuliah diadakan secara online dan saya akan bahagikan masa sebaik mungkin. Pensyarah pun bagi galakan tapi mereka juga ada pesan jangan lupa buat tugasan kuliah yang diberikan mereka,” katanya berseloroh.

Juara Big Stage akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi manakala tempat kedua dan ketiga meraih RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi. Persembahan peserta akan diadili tiga juri tetap iaitu Faizal Tahir, Ajai dan Dayang Nurfaizah.

Big Stage 2020 akan bersiaran langsung bermula 16 Ogos ini dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Ia akan disiarkan menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Untuk rekod, dua musim Big Stage terdahulu telah menobatkan Sarah Suhairi dan penyanyi dari Korea Selatan, Han Byul selaku juara. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button