• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Elvina Mohamad Pernah Terbakar Rambut Sepupu Semasa Malam Raya

Setiap daripada kita pastinya pernah melalui pengalaman menarik di saat merayakan sambutan Aidilfitri lebih-lebih lagi ketika di zaman kanak-kanak.

Hal ini tidak terkecuali kepada pelakon Datin Elvina Mohamad, 24, yang pernah melalui detik melucukan, di mana dia secara tidak sengaja telah terbakar sebahagian rambut sepupu lelakinya ketika mereka sedang bermain bunga api menjelang malam raya.

“Dalam banyak-banyak pengalaman raya yang satu ini memang saya tidak akan lupakan sampai bila-bila. Masa itu saya tengah main bunga api dan bila dah kehabisan bunga api, saya guna pula kertas pembalut aiskrim dan kemudian ia terpelanting terkena rambut sepupu lelaki yang kebetulan bermain berhampiran saya.

“Disebabkan insiden itu sebahagian rambut sepupu saya togel dan ibu saya turut memarahi saya disebabkan kenakalan pada zaman itu. Biasalah budak-budak, nakal dia lain macam dan sejak itu saya dah serik dan fobia nak main bunga api lagi,” katanya berkongsikan pengalaman lucunya itu.

Dalam pada itu, Elvina menyatakan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini ternyata memberi makna buat Elvina apabila anaknya, Karl Mateen semakin membesar.

Ujarnya, dia tidak sabar untuk meraikan lebaran tahun ini dengan menggayakan busana sedondon bersama Karl dan suaminya, Datuk Haniff Borhan.

“Lebaran kali ini lebih bermakna dengan kehadiran Karl dan pastinya saya dah sediakan persalinan sedondon buat keluarga kecil kami. Tak sabar rasanya nak hiaskan si kecil ini ketika di pagi Syawal.

“Apa yang paling saya nanti-nantikan ketika raya ialah kami semua sanak saudara akan berkumpul dan yang mana sudah lama tidak berjumpa akan bertanya khabar. Itu yang paling saya tunggu-tunggu selain menjamah juadah raya kegemaran saya iaitu ketupat, nasi impit dan rendang,” katanya.

Ujarnya, dia sekeluarga akan menyambut hari raya pertama di kediaman keluarga suaminya sebelum bertolak ke kampung halamannya di Teluk Intan, Perak. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend