
Erra Fazira Kini Sah Bergelar Isteri Ezwan, Terima Mas Kahwin 24 Keping Dinar Emas
Primadona filem Melayu, Erra Fazira kini sah bergelar isteri kepada usahawan Ezwan Zain dengan sekali lafaz pada satu majlis yang berlangsung pada pagi tadi.
Majlis pernikahan pasangan berkenaan berlangsung di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang, Shah Alam, Selangor.
Pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor, Mohd Sabirin Noordin.
Pada majlis tersebut, Erra atau Fazira Wan Chek, 51, menerima mas kahwin berupa 24 keping dinar emas.
Selain itu, pengantin lelaki turut menyerahkan satu talam hantaran yang berisi sepersalinan emas, tas tangan, jam tangan serta kasut sebagai barang hantaran.
Lebih istimewa lagi, antara yang menarik perhatian adalah sebentuk cincin berlian bernilai RM80,000.
Dengan bertemakan serba putih, Erra kelihatan cukup anggun dengan mengenakan busana Rizman Ruzaini.

Majlis diadakan secara tertutup yang dihadiri kira-kira 300 orang tetamu terdiri daripada ahli keluarga, rakan terdekat serta jemputan media.
Untuk makluman, ia merupakan perkahwinan kali ketiga buat Erra, manakala yang kedua buat Ezwan.
Sebelum ini, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 namun mereka sah berpisah pada 18 Februari 2014.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Engku Aleesya yang kini berusia 16 tahun.
Erra juga pernah berkahwin dengan penyanyi dan komposer Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 namun bercerai pada 2006. – KopiPlanet.com



