Cerita ArtisHiburan

Ikut Sunnah… Faizal Tahir Bela Kuda, Peruntukkan RM2,000 Sebulan Untuk Penjagaan Jibril

Walaupun pernah jatuh dilambung kuda setinggi tujuh kaki ketika sedang menjalani penggambaran muzik video lagu terbaharunya, Nobody baru-baru ini, ia langsung tidak menghalang penyanyi dan komposer, Faizal Tahir untuk membeli seekor kuda bagi memperluaskan hobi dan minat baharunya itu.

Menurut Faizal atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 42, minat baharunya itu timbul kerana mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW selain melihat ia satu aktiviti yang sihat buatnya sekeluarga. Kuda jantan yang diberi nama Jibril itu dibeli Faizal pada harga kurang RM10,000 pada bulan lalu.

“Kalau saya kata macam ini bukan sebab nak tunjuk alim ke apa, tapi memang saya bela kuda ikut sunnah Nabi. Apa-apa yang Nabi suruh kita jangan persoal, kita cuba dulu. Lepas dah bela kuda ini, memang banyak sebenarnya saya belajar. Lepas bangun solat Subuh, memang saya tidak tidur balik, sebaliknya terus ke kandang kuda Jibril yang sewa di Maeps, Serdang untuk beri dia makan dan mandikan dia sendiri.

“Ikut pengalaman sendiri sebenarnya, saya pernah jatuh kuda ketika jalani penggambaran muzik video lagu Nobody baru-baru ini. Saya jatuh tujuh kaki di udara, sakitnya memang tak boleh digambarkan. Tapi Alhamdulillah badan saya cuma sakit-sakit sengal biasa tiada tulang patah atau kecederaan teruk.

“Lepas jatuh itu, saya teruskan juga penggambaran dan hanya ambil ubat penahan sakit sahaja selepas itu. Saya tak nampak benda itu sebagai penghalang untuk saya sambung kerja macam biasa,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Nobody yang berlangsung di pejabat Universal Music Malaysia, Petaling Jaya semalam.

Memperuntukkan lebih RM2,000 sebulan untuk penjagaan Jibril, Faizal berkata, “Saya tahu persepsi orang bila menunggang kuda ini kos dia tinggi, saya faham sebab saya pun fikir macam tu dulu, sampailah saya bertanya sendiri dan terkejut juga bila dapat beli kuda bawah lingkungan RM10,000.”

“Untuk kos bulan-bulan boleh katakan mencecah RM2,000 sebulan. Nasib saya jumpa kandang yang berpatutan di Serdang berharga RM1,400. Kalau nak ikutkan tempat lain di sekitar Kuala Lumpur ini, harga standard kandang kuda boleh cecah RM3,500 sebulan. Untuk makanan dia pula saya peruntukkan RM700 sebulan.

“Jaga kuda ini tak macam kita beli kereta, lepas beli kita boleh tinggalkan sahaja di garaj. Kuda ini sensitif makhluknya, sebab itu setiap dua hari sekali saya akan pergi tengok dia dan bagi makan serta mandikan dia.

“Hobi bela kuda ini juga merupakan aktiviti sihat buat saya sekeluarga, sekarang skil tunggang kuda anak-anak saya lebih hebat daripada saya,” katanya berseloroh.

Faizal Tahir bersama kru ketika pembikinan muzik video berjudul Nobody.

Mengulas mengenai single terbaharunya itu, Faizal berkata, “Apa cuba nak disampaikan dalam lagu ini sebenarnya untuk diri saya sendiri terlebih dahulu, yang mana saya ini ‘nobody’ tanpa ‘somebody’ yang saya boleh beri dan curahkan kasih sayang. Selain mendedikasikan rasa cinta dalam diri saya kepadanya, menjaga dengan baik dengan jujur, ikhlas kerana Allah SWT. Sebab apabila buat macam itu barulah dapat hadiah teragung iaitu bersamanya di syurga nanti.”

“Jadi, pada saya keunikan lagu ini adalah mesej yang ingin disampaikan. Kita boleh berikan pelbagai jenis muzik yang sedap didengar, tapi apa yang penting adalah mesej yang ingin disampaikan. Bagi saya, lagu ini adalah sebuah mesej lain daripada yang lain yang pernah saya sampaikan sebelum ini,” ujarnya.

Nobody merupakan hasil nukilan Faizal bersama empat komposer lain iaitu Firdaus Rahmat, Mas Dewangga, Mage dan Mike Chan.

Menurut Faizal, dia selesa bekerja dalam pasukan kerana dapat berkongsi banyak idea sekali gus dapat melahirkan sebuah karya yang terbaik dan unik.

“Saya rasa tidak ada masalah bekerja dengan banyak kepala sebab sudah biasa. Macam ketika mula-mula nak jadi komposer saya sudah biasa kerja sendiri, seterusnya berdua dan bertiga.

“Tapi, saya sedar apabila bekerja dalam kumpulan atau pasukan kita lagi kuat, idea banyak dan berbeza terutama bekerja dengan orang yang mempunyai pengalaman berbeza. Macam saya sudah tua, jadi dapat berkongsi idea baru daripada orang baru dan anak muda,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button