
Farali Khan Aktif Sukan Tinju, Pernah Sertai Kejohanan Amatur
Pelakon Farali Khan mengakui dia memilih untuk aktif dalam tinju kerana menganggap ia sukan yang mampu menguji mentaliti dirinya.
Farali berkata, tinju bukanlah sukan yang agresif seperti tanggapan sesetengah pihak kerana ia adalah seni mempertahankan diri yang boleh meningkatkan tahap stamina.
“Pertama kali mencuba sukan tinju, saya rasa ia memang sebati dengan diri saya. Kini, sudah dua tahun saya aktif dalam sukan ini.
“Malah, saya pernah dua kali menyertai kejohanan tinju amatur di Jakarta pada tahun 2016 dan 2017. Cuma pada tahun ini saya tidak turut serta kerana sibuk dengan kerjaya,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia pernah mengalami sebarang kecederaan yang serius, Farali memberitahu dia pernah mengalami kecederaan kecil di bahagian bibir.
Jelasnya, sebagai seorang peninju amatur, aspek keselamatan memang menjadi keutamaan dan wajib untuk memakai pelindung kepala.
Dalam pada itu, menurut pelakon filem Kalla itu, biarpun memilih sukan tinju, tetapi dia menyarankan golongan wanita supaya mempelajari seni mempertahankan diri.
“Tak kisahlah sama ada tinju, taekwando atau karate kerana paling penting seseorang wanita itu perlu ada asas dalam mempertahankan diri sebagai langkah keselamatan,” pesannya.
Mengenai projek terbaharunya pula, pelakon itu kini sibuk mempromisikan filem terbaharunya iaitu Kalla: Hidup Atau Mati yang akan ditayangkan di pawagam pada 11 Oktober ini. – KopiPlanet.com