• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Fikry Ibrahim Kesal Dikecam Kerana Babak Bersentuhan Dalam Drama

Nama pelakon Fikry Ibrahim, 25, kembali menjadi perhatian selepas drama lakonannya, Kau Yang Pertama menjadi bualan peminat setianya.

Terbaharu, Fikry dikecam sesetengah netizen gara-gara babak bersentuhan yang dijayakannya bersama pelakon wanita dalam siri terbabit, bercanggah dengan prinsipnya yang sebelum ini dikatakan tidak akan bersentuhan dengan mana-mana pelakon wanita.

Menjelaskan perkara itu, Fikry berkata kenyataannya sebelum ini telah disalah faham kerana apa yang dinyatakan sebelum ini adalah dia tidak akan memuat naik gambar wanita tidak bertudung di Instagramnya.

“Saya juga ada cakap akan cuba sedaya mungkin untuk tidak bersentuhan (dengan pelakon wanita), bukan saya kata saya elak sebab saya tahu saya manusia biasa. Lambat-laun akan tersentuh, sebelum ini pun saya pernah juga tersentuh.

“Bukan nak kata saya bagus cuma bila orang salah ‘quote’ benda tu dan baru-baru ini ‘quote’ itu naik balik, saya rasa agak kesal,” ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama pelakon drama bersiri Kau Yang Pertama di Taman Wahyu, Kuala Lumpur semalam.

Jelasnya, berkenaan dengan komen yang dilemparkan oleh netizen, dia menerima dengan hati terbuka asalkan tidak membabitkan ahli keluarga terutama sekali ibu bapanya.

“Mengenai komen daripada netizen, saya boleh terima. Selagi seseorang itu komen, lagi dia kenal saya. Maksudnya orang tersebut ‘update’ dengan kerjaya lakonan saya. Cuma sedikit sedih kadang-kadang ada netizen hentam keluarga saya.

“Kalau saya salah, jangan serang mak ayah saya. Mereka ada yang tulis komen, ‘mak bapa tak ajar ke’. Kalau mak saya baca, tak ke dia sedih? Kalau orang lain baca saya tak kisah, ini mak saya, orang yang penting bagi saya. Kalau ada perkara yang saya buat menyinggung perasaan orang di luar sana, saya minta maaf,” katanya .

Drama arahan Hadith Omar itu menyaksikan gandingan Fikry dan Farah Nabilah. Turut berlakon sama ialah Tasha Shilla, Amar Asyraf, Elly Mazlein, Sheila Mambo dan Elyas Abdullah.

Nakshah 28 episod itu ditayangkan menerusi slot Akasia di TV3, pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 petang. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend