FilemReview

Hantu Kak Limah Pasti Buat Anda Ketawa Tak Henti-Henti!

Tajuk: Hantu Kak Limah
Tarikh Tayangan: 9 Ogos 2018
Durasi: 1 jam 55 minit
Genre: Komedi/Seram
Pengarah: Mamat Khalid
Pelakon: Datuk Awie, Delimawati, Rab Khalid, Sharwani, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Ropie, Mus May.
Klasifikasi: P13

Kembali dengan filem francais Hantu Kak Limah (HKL), pengarahnya, Mamat Khalid berharap dapat memberikan hiburan secara maksima buat semua penonton.

Menurut Mamat, dia enggan meletakkan jalan cerita yang berat sebaliknya hanya mahukan penonton berhibur sepanjang menonton karya terbaharunya itu.

“Seperti kebiasaan, saya gemarkan sebuah karya yang dekat dengan jiwa penonton. Sebab itu saya kurang gemar memasukkan babak-babak yang dianggap berat.

“Cuma ada beberapa bahagian yang mempunyai maksud tersirat disampaikan secara berlapik menerusi dialog lontaran pelakon mahupun bahasa tubuh mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton Hantu Kak Limah di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Secara keseluruhannya, filem ini berjaya digarap dengan baik oleh Mamat. Malah watak Ropie selaku pembantu kesihatan Kampung Pisang berjaya memecahkan hilai tawa penonton dengan dialog lucu dan bersahaja daripadanya.

Tidak perlu terlalu mencuba, kesemua pelakon dalam HKL berjaya memainkan watak mereka dengan cukup kemas dan baik.

Karakter Zul Ariffin sebagai guru silat juga memperlihatkan sisi lain aktor berbadan sasa itu yang sebelum ini sering kali sinonim dengan watak romantis dan serius. Pertama kali berlakon naskhah komedi, Zul berjaya membawakan watak Solihin dengan baik.

Awie seperti biasa, ekspresi wajahnya sahaja sudah berjaya mengundang hilai tawa penonton dengan perwatakan Husin yang selalu blur dengan situasi melanda kampungnya.

Filem ini turut dibintangi bintang cameo seperti Erra Fazira, Jue Aziz dan Datuk Seri Vida. Walaupun kemunculan mereka hanya satu babak namun berjaya meninggalkan kesan kepada penonton.

HKL menjalani penggambaran di sekitar Kuala Kangsar dan Taiping, Perak. Filem ini juga merupakan filem terakhir Allahyarham Rab Khalid yang meninggal dunia akibat penyakit serangan jantung pada Januari lalu.

HKL mengisahkan tentang Kak Limah yang baharu berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda daripadanya. Namun kebahagiaannya hanya sementara apabila Kak Limah dijumpai telah meninggal dunia. Kematiannya menjadi misteri di kalangan penduduk Kampung Pisang apabila ramai yang sudah terkena gangguan Hantu Kak Limah.

Sementara itu, Hussin dan rakan-rakannya, Yeh Sekupang, Wani, Khuda dan Nayan melihat Kak Limah ada di rumahnya. Siapakah yang mereka temui sebenarnya? Mereka kemudiannya meminta bantuan Solihin yang merupakan guur silat untuk menghapus Hantu Kak Limah. Pelbagai insiden lucu yang berlaku pada penduduk kampung sepanjang pemburuan Hantu Kak Limah.

Hantu Kak Limah yang diterbitkan Astro Shaw dan Infinitus Gold sudah menemui penonton bermula semalam (9 Ogos) di lebih 140 pawagam seluruh negara. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button