
Haqiem Rusli Pakai Spek Hitam Elak Gemuruh
Penyanyi muda yang semakin menyinar, Haqiem Rusli berkata dia bukan suka-suka mahu memakai cermin mata hitam ketika menjayakan persembahan.
Sebaliknya, imej yang dibawakannya itu adalah bersebab kerana menurut Haqiem dia akan berasa gemuruh dan ‘tidak senang duduk’ sekiranya tidak memakai kaca mata hitam ketika membuat persembahan.
“Sejujurnya kalau saya tak pakai spek mata hitam, saya agak goyah sikit, itu kelemahan saya. Saya dah cuba untuk persembahan lagu Segalanya pada minggu pertama separuh akhir Muzik-Muzik, tapi tengok persembahan saya agak kurang (bagus).
“Itu adalah identiti (pakai kaca mata hitam dan sarung tangan) dan ia membantu saya hilangkan gemuruh di atas pentas,” katanya kepada KopiPlanet.com
Sementara itu, susulan kejayaan lagu Tergantung Sepi berjaya melangkah sebagai finalis Anugerah Juara Lagu 32 (AJL 32) ia sekali gus menepis dakwaan sesetengah netizen yang mendakwa Haqiem tidak boleh menyanyi secara live.
Ini kerana menurut ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail, vokal penyanyi turut diambil kira pada persembahan separuh akhir Muzik-Muzik.
“Netizen yang banyak kutuk-kutuk ini macam busuk hati, mereka tak boleh tengok orang bahagia. Bagi saya, mereka nak kutuk, kutuklah, saya dah maafkan mereka. Sebab yang kutuk-kutuk ini, mereka tak dapat apa pun.
“Umur saya 19 tahun dapat sentuh pentas AJL, itu dah kira okay, Alhamdulillah, kalau tak menang tidak mengapa, janji saya dapat berkongsi satu pentas dengan penyanyi-penyanyi senior,” katanya lagi yang menyifatkan Dayang Nurfaizah sebagai pencabar terdekatnya bagi menghadapi saingan AJL 32.
Ketika ditanya tentang persiapannya bagi menghadapi saingan AJL 32 yang dijadualkan berlangsung pada Februari hadapan, Haqiem berkata dia akan cuba membawakan kelainan dalam persembahannya agar ia lebih fresh termasuk akan mengunakan alat bantuan persembahan. – KopiPlanet.com