Cerita ArtisHiburan

Ismail Izzani Ada 9 WhatsApp Group Khas Dengan Peminat

Jika kebanyakan selebriti mahukan privasi dalam menjalani kehidupan seharian, hal ini berlainan buat penyanyi baharu, Ismail Izzani.

Menurut Ismail, 18, dia sangat menghargai sokongan peminat setianya dan disebabkan itu dia telah menubuhkan sembilan kumpulan WhatsApp bagi melayani peminatnya yang digelar Izzanies.

“Saya beli satu telefon khas yang mana ia mengandungi WhatsApp group saya dengan peminat-peminat saya. Setakat ini sudah ada sembilan WhatsApp group dan saya akan berinteraksi secara langsung dengan mereka.

“Di situ saya beri informasi dan perkembangan terkini dan kalau ada masa memang saya akan melayan segala pertanyaan mereka,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Ismail ditemui pada majlis pelancaran single baharu berjudul Luar Biasa di Red Box, Pavilion, Kuala Lumpur semalam.

Mengakui pada awalnya ada peminat menggunakan kesempatan itu untuk menelefonnya namun Ismail bersyukur lama-kelamaan peminatnya menyedari agar dia diberikan sedikit ruang privasi.

“Memang pada awalnya ada yang telefon, saya tahu mereka teruja, macam saya juga kalau tahu nombor telefon artis kesukaan saya pasti saya pun akan ambil kesempatan untuk telefon dia.

“Saya memang tidak angkat dan lama-kelamaan peminat sedar sendiri dan memang saya akan gunakan masa terluang untuk update mereka tentang perkembangan terkini di WhatsApp group. Saya ambil pendekatan sebegini kerana sangat menghargai sokongan mereka sejak saya menceburi bidang nyanyian dua tahun lalu,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya tentang imejnya yang dikatakan sebagai Justin Bieber Malaysia, Ismail berkata dia menganggap perkara itu sebagai satu pujian buat dirinya.

“Saya berbesar hati apabila dikatakan Justin Bieber Malaysia sebab ia bukan saya yang kata, sebaliknya orang-orang di luar sana gelarkan.

“Saya pun memang minat dengan Justin sejak saya berumur 12 tahun lagi dan dia juga merupakan antara inspirasi untuk saya ceburi bidang nyanyian,” kata anak bongsu dari tiga beradik itu.

Luar Biasa yang merupakan single ketiga Ismail digubah sepenuhnya oleh The Good Fellas.

Lagu bergenre electronic dance music itu turut menampilkan penampilan khas bekas ahli kumpulan Sleeq iaitu Alif. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
218
+1
60
+1
32
+1
22
+1
20
+1
16
+1
35

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button