Cerita ArtisHiburan

Iedil Dzuhrie Nafi Guna Pengaruh Isteri Lebar Sayap Di Indonesia

Pelakon Iedil Dzuhrie Alaudin menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dia menggunakan pengaruh isterinya, pelakon Prisia Nasution untuk melebarkan bakat di negara jiran, Indonesia.

Menurut Iedil, penglibatannya dalam industri layar perak di negara kelahiran isterinya itu adalah di atas usaha dan bakatnya sendiri sejak lebih 10 tahun menceburkan diri dalam bidang seni lakon.

“Saya selalu ditanya soalan sebegini, yang sebenarnya dua filem Indonesia lakonan saya sebelum ini iaitu Toko Barang Mantan dan My Stupid Boss 2, saya pergi ‘casting’ sama seperti pelakon lain dan tiada istilah saya gunakan pengaruh isteri untuk dapatkan tawaran lakonan di sana.

“Saya pergi ke sana atas kredit nama sebagai Iedil Dzhurie Alaudin dan saya melihat peluang ini sesuatu yang tidak harus dilepaskan memandangkan sudah 10 tahun saya dalam bidang ini dan pastinya menarik untuk meluaskan bakat di negara luar pula,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Iedil ditemui pada majlis pratonton filem terbaharu lakonannya, Motif yang berlangsung di MM2 Cineplexes, E-Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Filem arahan Nadiah Hamzah itu turut dibintangi Datuk Rosyam Nor, Sharifah Amani, Azhan Rani, Taqim Zaki dan Emma Tosh. Motif bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 September ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keputusannya untuk menukar nama pentas daripada Iedil Putra kepada Iedil Dzhuhrie Alaudin, Iedil berkata sudah tiba masanya untuknya mengangkat nama arwah bapanya yang telah memperkenalkannya kepada industri seni.

“Selepas tukar nama, saya rasa lebih tenang. Memang sudah lama terdetik di hati saya untuk mengangkat nama arwah bapa iaitu Alaudin kerana dia yang memperkenalkan saya dengan industri seni ini.

“Saya percaya kalau peminat minat (karya lakonan), mereka akan tetap menyokong dan lama-kelamaan akan terbiasa dengan nama Iedil Dzuhrie Aludin itu,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button