• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

“Ini Konsert Terakhir Sebelum Saya Berehat Panjang” – Afgan

Penyanyi popular Indonesia, Afgan mengambil keputusan untuk berehat panjang selepas menjayakan konsert berskala besar di Kuala Lumpur pada 5 Oktober ini.

Menurut pemilik nama sebenar Afgansyah Reza itu, konsert Inspirasi Afgan Live In Kuala Lumpur 2019 akan menjadi konsert berskala besar terakhir yang akan dijayakannya.

“Saya sudah membuat keputusan bahawa konsert di Kuala Lumpur ini akan menjadi konsert terakhir sebelum saya berehat panjang selepas ini.

“Jika sebelum ini setiap minggu saya ada sahaja gig dan konsert, tetapi saya nekad berehat sebentar untuk mencari peluang lain dalam meneruskan perjalanan karier seni saya,” katanya.

Afghan berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Inspirasi Afgan Live In Kuala Lumpur 2019 yang diadakan di Common Ground, Menara Ken TTDI, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut penyanyi berusia 30 tahun itu, ‘kehilangannya’ dalam industri buat sementara adalah bagi merakamkan album baharu di Amerika Syarikat pada bulan September ini.

“Selepas ini saya akan berulang-alik dari Jakarta ke San Francisco untuk rakaman album baharu yang kesemuanya lagu-lagu Inggeris. Cuma saya tidak boleh dedahkan banyak maklumat lagi mengenai album ini.

“Saya ambil keputusan untuk bekerjasama dengan komposer dari sana kerana ingin cuba menerokai pelbagai jenis peluang yang ada dalam bidang ini, selain mahu keluar dari zon selesa,” ujar pelantun lagu Terima Kasih Cinta ini.

Berminat bekerjasama dengan Yuna, penyanyi itu berkata dia pernah duduk berbincang bersama penyanyi berkenaan dan berharap impiannya itu akan menjadi kenyataan satu hari nanti.

“Saya merupakan peminat Yuna dan kagum dengan hasil kerjanya. Sudah pasti saya teringin bekerjasama dengan dia, malah kami pernah berbincang mengenainya sebelum ini dan berharap ia dapat direalisasikan.

“Selain Yuna, saya juga teringin untuk bekerjasama dengan Bruno Mars dan Justin Timberlake sebab aliran muzik kami selari,” katanya lagi.

Bercerita mengenai konsertnya yang bakal diadakan pada 5 Oktober nanti, Afgan akan menyanyikan 15 buah lagu termasuk lagu-lagu hits seperti Terima Kasih Cinta, Jodoh Pasti Bertemu dan Sudah.

Yang menariknya, konsert ini juga menyaksikan Afgan buat pertama kalinya akam berkongsi pentas bersama idolanya, Datuk Sheila Majid.

“Kami sudah berbincang nak nyanyi lagu apa dan saya sangat menantikan untuk menyanyikan lagu-lagu Sheila Majid dalam konsert ini,” ujarnya lagi.

Tiket yang sudah 75 peratus terjual masih boleh didapati menerusi www.proticket.com.my/inspirasi2019-afganliveinkualalumpur. Tiket dijual pada harga RM299, RM399, RM599 dan RM1,200 (sesi meet & greet).

Konsert yang bakal diadakan HGH Convention Centre ini dianjurkan Popcorn Studio Sdn.Bhd. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend